Bentuk pasukan pelihara gua batu kapur di Perlis

Bentuk pasukan pelihara gua batu kapur di Perlis

gua
AHLI Dewan Undangan Negeri Beseri, Haziq Asyraf Dun bergambar bersama ahli-ahli projek eksplorasi gua dari PNX dan komuniti setempat di dalam sebuah gua bekas lombong bijih timah di Kangar, Perlis baru-baru ini.- UTUSAN/AHMAD FAHMI MOHD RADZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis Nature Xplorer (PNX) mencadangkan agar satu pasukan khas dibentuk oleh kerajaan dalam memulihara gua-gua batu kapur yang terbiar di negeri ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas PNX, Sya­mil Abd. Rahman berkata, ia termasuk dalam aspek pewartaan gua-gua berkenaan sekali gus boleh mengurangkan risiko pencerobohan, kemusnahan atau kehilangan khazanah yang cukup berharga itu.

Katanya, sejajar dengan pengiktirafan Perlis sebagai geopark kebangsaan ke-10, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan terhadap gua-gua tersebut dilihat lebih berkesan sebagai perlindungan kepada warisan geologi dan sejarah

Ujar Syamil, seperti sedia maklum, Perlis merupakan antara negeri paling banyak gua perlombongan bijih timah dan batu kapur yang masih kekal terpelihara.

“Dengan ketiadaan pemilikan khusus atau warta, gua-gua batu kapur terbabit berisiko untuk diceroboh secara berleluasa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Jika ia berlaku, bakal menyebabkan usaha memelihara khazanah mineral, flora dan fauna serta tinggalan sejarah menjadi sia-sia. Melalui projek Perca Kain ini, kita telah membuat rekod serta data agar pada masa hadapan tiada isu kehilangan khazanah tanpa disedari.

“Ia juga bagi mendorong masyarakat setempat untuk saling membantu NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan agensi berkaitan dalam usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan melalui saluran yang tepat.

“Kebanyakan gua-gua ini juga terletak di lokasi berdekatan penempatan dan sebarang pencerobohan boleh dilaporkan,” katanya.

Menerusi projek Perca Kain hasil inisiatif PNX sejak 2021 itu telah berjaya merekodkan sebanyak hampir 60 gua dan formasi batu kapur di hampir seluruh negeri ini.

Anggaran gua-gua di Perlis adalah sekitar 500 melibatkan keseluruhan Banjaran Nakawan dari Kuala Perlis sehingga Wang Kelian sejauh 36 kilometer.

Tambah Syamil, projek berkenaan adalah bagi mengumpulkan data serta pemetaan gua-gua tersebut daripada dipinggirkan begitu sahaja.

“Ia tidak bermaksud perlu dijadikan sebagai produk pelancongan tetapi lebih kepada usaha melindunginya daripada aktiviti aktif yang nampak pasif pada luarannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN