Banjir Johor: Calon SPM 2023 tidak patah semangat - Utusan Malaysia

Banjir Johor: Calon SPM 2023 tidak patah semangat

Empat pelajar mangsa banjir yang akan menduduki peperiksaan SPM dari kanan Muhd Aidil Haqimi Abu Bakar, Nor Syahirah Azrin, Nurwahida Roslim dan Nursuhada Roslim mengulangi mata pelajaran dengan menggunakan telefon bimbit di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru Masai disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak patah semangat walau terpaksa hadapi peperiksaan itu sebagai mangsa banjir yang menetap di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sungguhpun demikian, Nor Syahirah Azrin, 18, memberitahu, dia akan lakukan yang terbaik untuk memastikan masa depan lebih cemerlang buat diri dan keluarganya.

“Memang ada rasa sedih sedikit kerana terpaksa hadapi peperiksaan SPM dalam keadaan rumah ditenggelami air, tetapi dalam masa sama saya mahu lakukan yang terbaik.

“Saya tidak mahu perkara ini mematahkan semangat kerana tahun lalu, abang saya juga menduduki SPM sebagai mangsa banjir, jadi boleh dikatakan ini perkara biasa bagi kami,” katanya yang berniat mahu menyambung pelajaran dalam bidang kimpalan.

Tambah Nor Syahirah yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Pasir Gudang di sini, kediamannya dinaiki air kira-kira pukul 6.30 pagi semalam semasa sedang bersiap untuk ke sekolah.

“Selepas mendapati air sudah memasuki rumah, saya tidak jadi untuk ke sekolah sebaliknya terus bergegas memastikan barangan dan dokumen penting selamat daripada rosak. Mujurlah buku-buku teks dan nota penting telah diletakkan di tempat selamat terlebih dahulu, cuma baju sekolah rosak ditenggelamkan banjir.

“Air masuk dengan cepat, hanya dalam tempoh 15 minit rumah telah ditenggalami banjir, saya dan keluarga kemudian terus bergegas ke PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru pada pukul 8 pagi,” katanya kepada pemberita.

Ujian Bertutur peperiksaan SPM bagi Bahasa Melayu akan 8 hingga 11 Januari ini, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 29 Januari serta peperiksaan bertulis pada 30 Januari hingga 7 Mac.

Sementara itu, seorang lagi calon SPM 2023, Muhd. Aidil Haqimi Abu Bakar, 18, pula memberitahu, dia sudah penat berdepan banjir yang kerap berlaku di kawasan kediaman keluarganya di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang, di sini.

“Memang kawasan kampung ini kerap ditenggelami banjir, ada sesetengah kawasan akan ditenggelami air hanya selepas satu atau dua jam hujan lebat berterusan. Jadi boleh dikatakan hampir setiap bulan akan berlaku banjir.

“Walaupun sudah lali dengan kejadian banjir seperti ini, namun masih rasa sedih apatah lagi kejadian kali ini berlaku ketika saya hendak berdepan SPM, jadi rasa lemah semangat sedikit” ujarnya.

Muhd. Aidil Haqimi bagaimanapun berkata dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan SPM bagi mencapai cita-citanya menjadi seorang tentera darat.

Setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 1,485 rakyat negeri ini ditempatkan di 13 buah PPS yang dibuka di empat daerah seluruh Johor.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, daerah yang terjejas ketika ini masih kekal iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Mersing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN