KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengawal keselamatan dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mendatangkan cedera parah terhadap adik kandungnya, tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli membacakan keputusan itu semalam setelah Muhammad Syarif Suhiemai, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada adik lelakinya yang berusia 20-an dengan menetak tangan mangsa menggunakan sebilah parang.
Difahamkan, kejadian itu dikatakan berpunca perselisihan faham melibatkan tuntutan gaji di tempat kerja dua beradik berkenaan yang dibuat tertuduh kepada mangsa.
Muhammad Syarif didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kilang kayu di Ajil dalam daerah Hulu Terengganu kira-kira 12 tengahari pada 29 Oktober tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Sebaik mengaku bersalah, tertuduh menerusi peguamnya memohon hukuman penjara minimum mengambil kira tertuduh sudah insaf dan mengakui kesilapannya gagal mengawal kemarahan.
Pihak pendakwaan dalam hujahannya pula memohon mahkamah menimbang kecederaan parah dialami mangsa serta hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.
Hakim kemudian dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap Muhammad Syarif bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu 29 Oktober 2023.










