4494 kes tipu menyamar jadi rakan di aplikasi sosial

494 kes tipu menyamar jadi rakan di aplikasi sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 494 kes penipuan penyamaran sebagai rakan dengan kerugian RM2.5 juta dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun lalu. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan penipuan tersebut dengan menyamar sebagai rakan atau kenalan seterusnya menghubungi mangsa melalui WhatsApp, Telegram, Facebook dan sebagainya. 

Katanya, meminjam wang merupakan salah satu modus operandi yang digunakan oleh penjenayah dalam melakukan penipuan.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 494 kes penyamaran dengan kerugian RM2.5 juta manakala bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam, kira-kira 50 kes melibatkan RM238,732 dicatatkan. 

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini didapati melakukan penggodaman ke atas akaun Telegram atau WhatsApp milik mangsa dan menghubungi senarai rakan yang diperoleh daripada aplikasi-aplikasi tersebut bagi meminjam wang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, pemilik sebenar akaun hanya menyedari perkara ini apabila mereka tidak dapat mengakses atau menerima panggilan daripada kenalan mereka berkaitan kesahihan pinjaman wang ingin dibuat.

Jelas beliau, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada mesej pinjaman wang diterima daripada rakan.

“Ini terutama apabila akaun bank digunakan milik individu lain. 

 “Apa pun alasan mereka, lakukan semakan dengan menghubungi kenalan tersebut bagi tujuan pengesahan. 

“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan di talian 013-2111222,” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN