PETALING JAYA: Penyediaan garis panduan jelas ldiperlukan berbanding kerajaan melarang iklan, promosi dan tajaan mengenai vape bagi memastikan industri itu tidak terencat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, halangan iklan, promosi dan tajaan secara menyeluruh hanya merencatkan industri vape dan perkara itu boleh dielakkan dengan menyediakan garis panduan yang baik.
Menurut beliau, penyalahgunaan vape juga sebenarnya berpunca daripada undang-undang yang tidak jelas.
Menurut beliau, bagi tempoh jangka masa panjang, vape yang dikawal selia dengan pelaksanaan kawalan kualiti seharusnya dilihat sebagai alternatif kepada rokok selain memberikan impak besar kepada industri yang dipelopori industri kecil sederhana.
ALASAN
“Saya faham dengan alasan dan sebab kenapa larangan ini ingin dikuatkuasakan, bagaimanapun, ini secara tidak langsung menyamakan vape dengan rokok.
“Saya percaya, walaupun dengan generasi penamat merokok (GEG), halangan ini pasti akan dilakukan. Sepatutnya, garis panduan yang terperinci untuk iklan dan promosi dibuat dan bukanlah halangan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, rokok elektronik atau vape tidak lagi boleh diiklan, dipromosi dan terbabit dalam tajaan selepas RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 berkuat kuasa.
Sementara itu, Ridhwan berkata, pihaknya juga berharap agar dapat menyertai sesi libat urus bersama kementerian dan agensi-agensi terlibat bagi penyediaan peraturan akan datang.
Katanya, ini bagi mengelakkan kemunculan pasaran gelap apabila wujudnya peraturan tidak sesuai yang berpotensi membunuh industri bumiputera berkenaan. – UTUSAN










