KEMAMAN: Kerajaan Pusat didakwa menghalang bantuan kepada rakyat Palestin apabila bertindak membekukan duit yang dikutip oleh sebuah organisasi di negara ini kononnya wang itu diselewengkan pihak terbabit.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menahan dan memeriksa benar atau tidak tuduhan wang dikutip kononnya masuk poket organisasi itu.
“Yang anehnya kerajaan bekukan wang untuk orang Palestin sebanyak berpuluh juta yang dikutip untuk dihantar kepada Palestin tapi dibeku oleh kerajaan. Ini bermakna yang menghalang bantuan kepada Palestin ialah kerajaan kita sendiri kerana mereka tidak benar wang dikutip itu disampaikan kepada orang Palestin.
“Inilah dilihat oleh semua negara, kerajaan kita waktu ini tak ingin kecam Israel dan halang bantuan kepada Palestin untuk disampaikan kepada orang Palestin yang menderita tekanan oleh Israel.
“Dalam negara kita, kita dapati tindakan sama yang dilakukan seperti Israel lakukan kepada Palestin. Kalau tak sokong kerajaan tak dapat bantuan. Wang untuk diberikan kepada wakil rakyat disekat, konon kalau sokong Perdana Menteri baru boleh dapat bantuan.
“Ini bermakna, perbuatan rasuah dengan menggunakan wang untuk mendapatkan sokongan dilakukan oleh kerajaan dengan menggunakan wang negara. Disebaliknya kita dapati wang yang sepatutnya disampaikan kepada negeri tidak diberi, ditangguh. Banyak peruntukan untuk Terengganu, hanya cukup bayar gaji sahaja. Lain-lain kewangan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis tidak diberi sebab kita tidak menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri,” dakwanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Grand Finale di Arena Square di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Mahathir mendakwa, inilah bentuk kerajaan yang ada pada ketika ini dan jika rakyat mengundi calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, ia bermakna rakyat mengizinkan kerajaan melakukan rasuah secara terbuka menggunakan wang kerajaan.
“Saya harap kita semua lebih mengutamakan negara kita dan bukan duit ringgit. Kita dapati bahawa terdapat banyak masalah yang tak dapat diatasi oleh kerajaan ini khususnya berkaitan kewangan. Mereka tak dapat turunkan kos sara hidup sehingga ada yang tak dapat makanan kerana harga makanan naik dan mereka tak ada pendapatan.
“Sekarang dicadang subsidi akan diberi kepada orang tertentu sahaja. Siapa dapat? percayalah hanya yang sokong kerajaan sahaja. Ini pilih kasih guna wang kerajaan ialah satu jenayah, iaitu guna wang kerajaan sogok wakil rakyat mereka sokong kerajaan ataupun Perdana Menteri.
“Inilah jenis kerajaan kita ada sekarang. Sebab itu kita kena tentukan mereka tak dapat sokongan rakyat di Kemaman. Di kemaman kita ada calon yang sebenarnya layak jadi Perdana Menteri pun,” katanya.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membekuman sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.
Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan terhadap dakwaan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan penggeledahan turut dilakukan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.
SPRM juga sudah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting bagi siasatan lanjut.
Hasil siasatan awal mengenalpasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.
Tambah kenyataan itu, siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Selain siasatan lanjut di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574). – UTUSAN