Tukar syarat geran tanah, UiTM didenda RM14.7 juta - Utusan Malaysia

Tukar syarat geran tanah, UiTM didenda RM14.7 juta

Projek UiTM Solar Park 1 di Gambang, Pahang yang didakwa melanggar syarat tanah sehingga didenda RM14.7 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Projek UiTM Solar Park 1 di Gambang, Pahang dilaksanakan sayap pelaburan Universiti Teknologi Mara (UiTM) didenda RM14.7 kerana melanggar syarat pemilikan tanah.

Denda tersebut dikenakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan selepas UiTM memohon menukar status penggunaan tanah daripada ‘pengajian tinggi’ kepada ‘perindustrian’ dilaksanakan sayap pelaburannya iaitu UiTM Holdings Sdn Bhd sejak 2016.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Aida Munira Abdul Rafar berkata, proses menilai denda tersebut selesai dan universiti terbesar dengan 34 kampus cawangan itu diberikan notis untuk bayaran sebanyak RM14.7 juta.

“PDT Kuantan kemuka cadangan kepada pihak UiTM supaya mula bayar (denda) secara ansuran bermula pada Januari hingga Disember 2024 termasuk cukai tahun semasa.

“Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang maklum balas ataupun bayaran daripada UiTM. Jadi PDT Kuantan akan keluarkan notis tuntutan kepada institusi itu mulai tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Aida Munira, kadar cukai yang turut dikenakan kepada UiTM juga tidak menjadi isu berikutan nilainya sama bagi institusi pengajian tinggi dan perindustrian.

Terdahulu, menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) November lalu, satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tanah berkeluasan kira-kira 121 hektar tersebut dikurniakan kepada UiTM secara bersyarat.

Kata sumber, geran tanah tersebut dengan jelas menyatakan status untuk ‘pengajian tinggi’ dan bukannya untuk dibangunkan dengan projek solar.

PERSOALAN

Daripada projek tersebut, ia turut mencetuskan persoalan berhubung penerbitan sukuk bagi suntikan modal terhadap projek tersebut yang dianggarkan hampir RM300 juta sama ada dibuat melalui UiTM Holdings atau UiTM sendiri apabila tanah tersebut didakwa tidak boleh dicagarkan.

“Di situ timbul persoalan siapa dalam UiTM yang membenarkan projek solar di Gambang dijalankan sehingga terdapat sukuk (pinjaman bank) diterbitkan. Tanah itu mesti dicagarkan untuk mendapatkan pinjaman kerana melibatkan kepentingan bank. Itupun kalau tanah tersebut sudah menjadi milik UiTM Holdings, sedangkan syarat geran adalah tidak boleh dipindah milik, dicagar atau digadaikan.

“Kalau tidak pindah milik sekalipun mesti ada jaminan diberikan UiTM, siapa yang beri, bagaimana bank boleh luluskan sukuk? Kalau pindah milik pula, siapa membuat permohonan dan bagaimana Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) boleh luluskan?

“Pertukaran pemilik tanah tersebut seolah-olah dilakukan oleh pihak tertentu secara senyap. Namun pelanggaran statusnya menyebabkan PDT Kuantan mengenakan denda RM14.7 juta kerana melanggar syarat geran,” soal sumber itu.

Sementara itu, Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, UiTM mendakwa mengemukakan kaedah lain kepada penyelesaian terhadap denda RM14.7 juta yang dikenakan Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan tersebut.

Menurut beliau, untuk masa ini UiTM tidak membayar denda dikenakan seperti yang didedahkan dalam LKAN pada November lalu.

KAEDAH

“Suka saya katakan kami ada kaedah dan sedang dilakukan serta berhubung semula dengan pihak berkuasa negeri, mudah-mudahan dapat diselesaikan. Saya tak boleh dedahkan secara terperinci, supaya perkara itu dapat diselesaikan tanpa menimbulkan kerugian kepada universiti.

“Status tanah pun sama, di pihak kami sudah ada jalan penyelesaian. Penyelesaian itu di pihak kami dan pejabat tanah sendiri,” kata beliau.

Dr. Shahrin juga enggan memperincikan berhubung penerbitan sukuk sebagai suntikan modal bagi melaksanakan projek solar tersebut yang dijalankan UiTM Holdings.

Dalam pada itu, Dr. Shahrin turut memaklumkan satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi menyelesaikan krisis yang timbul dalam sayap pelaburan UiTM selepas masalah tersebut ditimbulkan dalam laporan sama.

Jawatankuasa tersebut termasuklah mengenal pasti risiko-risiko pelaburan yang disifatkan sebagai tinggi sama ada mengurangkan atau menghapuskan terus perniagaan yang dianggap sedemikian.

“Dalam mesyuarat tiga pihak bersama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diadakan baru-baru ini bagi menjawab laporan LKAN, UiTM akan bertindak melalui pematuhan terhadap tadbir urus yang telus serta membuat rujukan kepada pelbagai peringkat seperti dikehendaki menerusi laporan audit berkenaan.

“Tetapi apa yang saya boleh katakan adalah, pengurusan kami komited untuk memastikan pengurusan UiTM berlandaskan tadbir urus yang baik, dengan keadaannya mempunyai sistem semak dan imbang yang mana tidak satu pihak boleh membuat satu keputusan penting.

“Jika LPU (Lembaga Pengarah Universiti) dan pengurusan hendak membuat sesuatu keputusan ia akan berbalik pula kepada kementerian kita. Ada satu perkara perlu naik ke Kementerian Kewangan, itulah proses semak dan imbang yang kita sudah pun bincang di pihak pengurusan bersama LPU,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×