Terfikir tangguh pengajian demi jaga bapa sakit

Terfikir tangguh pengajian demi jaga bapa sakit

MOHAMAD HAIQAL DANIAL Hamdan (tengah) bersama ibu bapanya pada Majlis Konvokesyen Unimel Ke-25 di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu perumpamaan sesuai menggambarkan dugaan yang dihadapi penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Ijazah Sarjana Muda, Mohamad Haiqal Danial Hamdan, 25, selepas bapanya, Hamdan Lumad, 57, diserang strok semasa tahun akhir pengajian.

Katanya, keadaan ketika itu sangat sukar kerana perlu melunaskan tanggungjawab sebagai anak tetapi pada masa sama harus menumpukan perhatian kepada pelajaran.

“Saya terkejut apabila diberitahu ayah diserang strok kerana ingatkan sakit biasa sahaja. Ayah perlu menjalani dua kali pembedahan dan saya perlu menguruskan banyak perkara seperti insurans dan rawatan hospital.

“Ketika itu banyak kuliah yang saya terlepas sehingga pernah terfikir untuk menangguhkan pengajian. Bagaimanapun dengan bantuan rakan dan motivasi daripada pensyarah, saya dapat teruskan dan tamatkan pengajian dengan cemerlang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Melaka (Unimel) Ke-25 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini.

Terdahulu, Mohamad Haiqal antara 130 penerima ijazah sarjana muda yang diraikan dalam majlis konvokesyen disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Tambahnya, ayah serta ibu, Nor Azizah Abdul Aziz, 51, adalah sumber inspirasi dan motivasinya untuk berjaya.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Syariah itu, dia sangat menitik-beratkan pencapaian pendidikan kerana mahu mengubah nasib keluarga.

“Kami adalah keluarga yang sederhana. Jadi saya menyimpan hasrat untuk mengubah nasib keluarga seperti graduan-graduan lain.

“Sebelum ini saya bercita-cita mahu menjadi peguam tetapi kini cuba untuk mengubah bidang dengan menyambung pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya