PETALING JAYA: Malaysia kembali bernafas selepas beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menundukkan beregu China yang menghuni ranking No. 1 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang pada separuh akhir Piala Thomas di Chengdu, China, sebentar tadi.
Gandingan No. 5 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum mencipta kemenangan dalam rubber set 15-21, 21-12, 21-17 ke atas Wei Keng-Wang Chang dalam masa 54 minit untuk mengikat kedudukan 1-1.
Kejayaan tersebut juga merupakan kemenangan kedua Aaron-Wooi Yik ke atas beregu handalan tuan rumah itu yang memegang rekod pertemuan 2-6.
Selepas ini, perseorangan kedua Malaysia, Leong Jun Hao yang berada di ranking ke-37 dunia bakal masuk ke gelanggang menghitung pertemuan dengan jaguh No. 6 dunia, Li Shi Feng. – UTUSAN











