Sidang DUN Pahang: RM4 bilion bagi projek impak tinggi ECERDC - Utusan Malaysia

Sidang DUN Pahang: RM4 bilion bagi projek impak tinggi ECERDC

WAN ROSDY Wan Ismail menyatakan sebanyak RM4 bilion diperuntukan bagi projek berimpak besar ECERDC pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak RM4 bilion diperuntukkan bagi menjalankan projek-projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejak penubuhannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berimpak tinggi terbabit termasuklah kluster pelancongan, pembuatan, pembangunan infrastruktur, perniagaan tani dan sosioekonomi.

Katanya, bagi kluster pelancongan, projek yang sudah siap dilaksanakan ialah Taman Tasik Chini dengan kos RM63.4 juta, Pembangunan Pelancongan Warisan Pekan (RM66 juta) dan Kuantan Waterfront-Menara Kuantan 188, Serambi Teruntum dan laman Teruntum, RM132.5 juta.

“Bagi kluster pembuatan membabitkan Taman Automotif Pekan, Taman Industri Halal Gambang, Taman Teknologi Pahang dan Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) jumlah keseluruhan RM559.9 juta.

“Kluster pembangunan Infrastruktur pula RM2,419.7 juta, kluster Perniagaan Tani (RM139.7 juta) manakala kluster sosio ekonomi pula RM408.8 juta. Kesemua projek yang siap di bawah lima kluster ini berjumlah RM3,790 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mustafa Long (BN-Padang Tengku) yang ingin tahu senarai projek berimpak tinggi yang dilaksanakan ECERDC di Pahang pada sesi jawab lisan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Mustafa juga mahu kerajaan negeri mengatakan faedah daripada aspek peluang pekerjaan dan peningkatan kuasa beli kepada penduduk setempat hasil pelaksanaan projek berimpak tinggi yang dibangunkan di Lipis.

Wan Rosdy memaklumkan, beberapa projek yang masih dalam pelaksanaan membabitkan kluster pelancongan dengan peruntukan RM16 juta, pembuatan RM80 juta dan pembangunan infrastruktur RM114.1 juta membabitkan jumlah keseluruhan RM201.1 juta.

Beliau dalam pada itu juga berkata, sebanyak 1,250 peluang pekerjaan dan 1,850 peluang keusahawanan sudah diwujudkan melalui program-program pembangunan modal insan Empower ECER Latihan Kemahiran dan Pembangunan Usahawan serta Entrepreneur ECER yang dilaksanakan di daerah Lipis bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat tempatan.

“Program Empower ECER Latihan Kemahiran dan Pembangunan Usahawan adalah bertujuan mewujudkan usahawan baharu dan melahirkan tenaga kerja melalui bimbingan bagi menjana dan meningkatkan pendapatan.

“Bagi Program Empower Entrepreneur ECER (Upscalling) bertujuan membangunkan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sedia ada ke tahap yang lebih tinggi melalui dua kaedah iaitu Dana Pinjaman Mudah dan Pembangunan Kualiti Produk bagi Jaminan Pasaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya