PUTRAJAYA: Kerajaan boleh menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 selepas membuat pindaan tentang isu diskriminasi mengikut nasihat Peguam Negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pindaan diskriminasi yang berasaskan kepada tarikh kelahiran boleh diubah kepada penetapan usia iaitu meletakkan mereka yang berumur kurang 18 tahun tidak boleh merokok di bawah Generasi Penamat Rokok (GEG).
Menerusi RUU itu juga, kata Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, ia turut boleh dimasukkan peruntukan yang menetapkan selepas tempoh tiga tahun penguatkuasaan akta ini, semua orang tidak boleh merokok.
“Melalui kaedah penetapan larangan umur bawah 18 tahun ini, ia bermakna semua orang dalam usia larangan tidak boleh merokok bukan hanya mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007.
“Kaedah lain ialah umur larangan merokok bawah usia 18 tahun boleh ditingkatkan melalui pindaan akta itu pada setiap tahun. Namun pendekatan ini akan mengakibatkan proses berulang setiap tahun yang dilihat agak tidak praktikal.
“Jika diadakan tempoh moratorium selama tiga tahun sebelum larangan kepada semua orang, pendedahan, pendidikan dan rawatan perlu giat dilaksanakan termasuk menyediakan pusat rawatan penagihan rokok,” katanya di sini semalam.
DASAR
Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU tersebut di peringkat dasar dengan peruntukan generasi penamat rokok (GEG) digugurkan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menyifatkan keputusan pengguguran itu dibuat selepas merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) apabila terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan-peruntukan GEG dengan memberi layanan berbeza terhadap INDIVIDU yang lahir sebelum 1 Januari 2007 berbanding layanan terhadap orang yang lahir selepas 1 Januari 2007.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, pendidikan tentang mudarat rokok perlu disebar luas dan rakyat perlu didedahkan mengenai kerugian perokok dan kerajaan akibat ketagihan rokok dari aspek pembiayaan kesihatan, ekonomi, sosial dan implikasi sampingan yang berlaku kerana tabiat buruk perokok.
Katanya, langkah itu boleh dilaksanakan dengan keperluan untuk mewujudkan subjek kesedaran khusus seperti kempen benci dadah dengan memperkenalkan subjek di peringkat sekolah rendah dan menengah.- UTUSAN










