KOTA BHARU: Rombakan kabinet yang dilaksanakan hanya dalam tempoh setahun selepas memegang tampuk pemerintahan menyerlahkan wujudnya kelemahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, situasi itu menunjukkan barisan jemaah Menteri yang berkhidmat sebelum ini kurang berkesan.
“Jadi diharap barisan kabinet selepas ini akan lebih berkesan. Kita turut lihat angkah pembesaran saiz kabinet membuktikan kerajaan pada hari ini tidak melaksanakan apa yang mereka laungkan selama ini.
“Pembesaran saiz kabinet bukan perkara baharu dan kita selalu sebut dalam Parlimen bahawa kerajaan ini ‘cakap tak serupa bikin’. Apa yang diuar-uarkan tidak sebagaimana dilaksanakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, Pas berharap kabinet kali ini mampu menunjukkan keberkesanan kerana usia kerajaan pimpinan Anwar itu sudah melebihi tempoh setahun.
“Kita ucap selamat menjalankan tugas kepada semua menteri dan timbalan menteri baharu. Namun demikian keutamaan kita adalah kesejahteraan rakyat.
“Kita nak kalau betul-betul kerajaan ini mementingkan rakyat, perlu tunjuklah dalam tempoh terdekat kerana kerajaan ini sudah melebihi tempoh setahun,” ujarnya.-UTUSAN