RM2bilion naikkan gaji lebih sejuta pekerja - Rafizi - Utusan Malaysia

RM2bilion naikkan gaji lebih sejuta pekerja – Rafizi

Dasar gaji progresif dijangka dapat membantu menaikkan lebih sejuta pekerja terutama pekerja sektor PMKS.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi melaksanakan dasar gaji progresif bagi meningkatkan gaji kira-kira 1.05 juta pekerja negara ini.

Pada tahun pertama pelaksanaan, cadangan had gaji ditetapkan untuk pekerja yang menerima gaji bulanan bawah RM5,000 dan tidak kurang daripada gaji minimum RM1,500.

Menerusi dasar gaji progesif itu kerajaan turut menjangka bakal memberi tambahan kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM0.79 bilion, tambahan hasil cukai pendapatan sebanyak RM1.8 bilion dan tambahan 37,529 orang pembayar cukai pendapatan baharu pada tahun pertama pelaksanaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, peruntukan dan jangkaan itu berdasarkan kepada beberapa simulasi yang dijalankan oleh kementeriannya sebelum melaksanakan projek rintis bermula Jun tahun depan.

Rafizi Ramli

“Sebaik sahaja projek rintis dilaksana sehingga September 2024, kita akan ada maklumat lebih baik (dari segi) berapa banyak penjimatan rasionalisasi (subsidi), konsolidasi fiskal negara dan kita akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk kita putuskan berapa banyak peruntukan diperlukan nanti.

“Tapi kita ada beberapa simulasi yang disediakan kepada kerajaan. Jika kita peruntukkan RM2 bilion setahun, ia akan meliputi 1.05 juta (pekerja). Dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) naik, kutipan cukai naik (tahun depan). Jika kita peruntuk RM3 bilion, sudah tentu angka itu (sesuai).

“Kita akan buat keputusan mengenai peruntukan apabila tiba masanya nanti. Kita perlu memastikan sistem dan proses dasar ini dalam keadaan teratur,” kata beliau pada sidang media selepas pembentangan Kertas Putih Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat semalam

Bagi peruntukan projek rintis dasar tersebut, Rafizi menjangkakan kos yang diperlukan tidak melebihi RM30 juta berdasarkan kepada bilangan pekerja dan kemampuan 1,000 syarikat yang terpilih.

PENDAFTARAN

“Kita perlu lihat berapa banyak kos bila pendaftaran (projek rintis) dibuka dan apabila 1,000 syarikat selesai dipilih nanti tapi berdasarkan pengiraan kasar, jika kita pilih 1,000 syarikat, mereka dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Mereka mungkin purata ada 50 pekerja, RM200 setiap bulan, jadi untuk 2024 ia memerlukan kos antara RM20 hingga RM30 juta dan peruntukan ini sudah disediakan oleh Kementerian Ekonomi. Jadi, kos tidak akan melebihi peruntukan RM30 juta,” katanya.

Dengan anggaran kos itu, beliau yakin dasar ini boleh dilaksanakan dan beliau memberi jaminan akan mendapatkan maklum balas sewajarnya bagi projek rintis tersebut.

Kertas putih dasar tersebut yang dibentangkan buat pertama kali di Parlimen menggariskan mekanisme meliputi tiga kriteria utama iaitu syarat penyertaan, cadangan kenaikan gaji tahunan dan insentif mengikut kadar dan kumpulan pekerja.

Syarat penyertaan majikan mendaftar sebagai Majikan Gaji Progresif dirangka dengan memberi tumpuan kepada syarikat tempatan terutama PMKS memandangkan majoriti pekerja yang menerima gaji rendah merupakan pekerja PMKS.

JUMLAH

Cadangan ini mengambil kira jumlah pekerja yang menerima gaji bulanan dalam lingkungan RM1,500 dan RM4,999 merangkumi 66.6 peratus atau seramai empat juta pekerja dan had gaji yang ditetapkan dijangka mampu memberi liputan luas untuk pekerja swasta menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Panduan kenaikan gaji tahunan akan dicadangkan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif mengikut sektor ekonomi dan kategori pekerjaan serta meliputi cadangan penentuan gaji berdasarkan gaji pokok dan kenaikan gaji bagi setiap kategori pekerjaan.

Insentif berbentuk tunai akan disediakan mengikut kadar dan kumpulan pekerja pada peringkat permulaan (entry-level) dan peringkat bukan permulaan (non-entry level).

Bagi kumpulan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM200 sebulan selama 12 bulan, sekiranya syarikat membayar gaji pada kadar yang sama atau melebihi cadangan panduan kenaikan gaji tahunan.

Bagi kumpulan pekerja bukan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM300 sebulan selama 12 bulan sekiranya syarikat memberi kadar kenaikan gaji tahunan berdasarkan panduan kenaikan gaji tahunan.

Bagi peruntukan dana, pelaksanaan inisiatif Dasar Gaji Progresif akan disediakan mengambil kira kemampuan kewangan dan insentif akan disalurkan berasaskan first come, first served, dengan mekanisme pembayaran akan diperhalusi untuk tidak membebankan syarikat bersaiz kecil, terutama PMKS.

Prestasi majikan yang menyertai dasar ini akan dinilai melalui sistem penarafan bintang, berdasarkan dua komponen, iaitu komponen asas dan komponen bonus dan dengan pemberian insentif sebanyak RM2 bilion, dasar ini dijangka memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja, dengan tambahan nilai keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak RM3.3 bilion. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN