PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan telah menahan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menafikan bahawa blogger Papagomo ditahan semasa membuat sesi siaran langsung menerusi media sosial miliknya.
“Kita tidak membuat sebarang tangkapan ke atas Papagomo, semalam (pada Selasa),” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Hari ini timbul dakwaan Papagomo ditahan pihak polis selepas seorang blogger, Raja Petra Raja Kamarudin menerusi aplikasi X miliknya memaklumkan bahawa Papagomo telah ditahan semasa sesi langsung di platform media sosial TikTok.- UTUSAN