Ketuhar tanah liat jadi penyambung hidup penduduk Gaza

Ketuhar tanah liat jadi penyambung hidup penduduk Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Gaza, ketika penduduknya berjuang dengan kekurangan bahan api, ketuhar tanah liat kembali menjadi simbol ketahanan dan daya juang mereka.

Menurut laporan Al-Jazeera, ketiadaan bekalan elektrik dan gas mendorong sebahagian penduduk kembali kepada cara memasak tradisional yang unik itu.

Dalam usaha untuk bertahan hidup, banyak keluarga di Gaza kini beralih kepada ketuhar tanah liat atau dipanggil taboon, cara memasak yang digunakan nenek moyang mereka.

Malah, pembuat ketuhar tanah liat, Inshirah Salem al-Aqra, 53, berani memberi jaminan makanan yang dimasak menggunakan kayu api dan ketuhar itu jauh lebih enak dan kaya dengan perisa.
Inshirah membuat ketuhar tanah liat tradisional sejak beberapa tahun lalu.

Ketuhar ini diperbuat daripada campuran tanah liat serta jerami sebelum dibentuk dengan tangan dan dibiarkan kering di bawah sinar matahari.

“Orang ramai membuat nasi mandy atau membakar roti dalam ketuhar ini.

“Semasa perang, segala-galanya sangat sukar. Orang ramai memerlukan api sekalipun hanya untuk membuat kopi atau teh,” kata ibu kepada 10 anak itu.

Menyiapkan tempahan ketuhar tanah liat kini menjadi satu-satunya sumber pendapatan keluarga wanita itu selepas tentera Israel membakar bot nelayan suaminya pada Oktober lalu.

Inshirah sudah menjual puluhan ketuhar daripada saiz 50 hingga 90 sentimeter bergantung kepada permintaan pelanggannya, lebih banyak daripada yang dibuat dalam sebulan pada masa lalu.
Namun ibu itu masih mengekalkan harga lamanya walaupun permintaan alat memasak itu semakin bertambah.

“Saya tidak mahu mengambil kesempatan daripada orang ramai, terutamanya pada masa ini,” ujarnya.

Inshirah turut membuka rumahnya kepada pelarian wanita yang berlindung di sekolah berdekatan.

“Mereka membawakan saya tepung, supaya saya boleh membuat roti untuk mereka. Jika saya mempunyai air bersih, saya juga mengisi tin air mereka,” katanya.

Dia berharap perang yang membunuh kira-kira 15,000 rakyat Palestin dan memusnahkan Semenanjung Gaza itu akan berakhir tidak lama lagi.

“Cukuplah. Kami sudah kehilangan begitu banyak,” katanya.-UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.