Pemandu Bezza dikejar 28 MPV polis ada 11 rekod lampau - Utusan Malaysia

Pemandu Bezza dikejar 28 MPV polis ada 11 rekod lampau

Kereta Perodua Bezza yang dikejar polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan pemandu Perodua Bezza yang melarikan diri dan dikejar 28 unit peronda polis (MPV) sehingga ke Cyberjaya, awal pagi tadi mempunyai 11 rekod lampau.

Malah, pemeriksaan turut menemukan sebilah pisau, gunting, set sarung tangan, topi keledar, kad pengenalan milik individu lain dan kad debit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku pada pukul 1.42 pagi selepas kenderaan dipandu suspek melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Utara di sini.

Kata beliau, suspek kemudian memasuki Lebuhraya Persekutuan menuju ke Shah Alam, bagaimanapun ketika tiba di Jalan PJS 6/1 Sungei Way, suspek merempuh anggota unit rondaan bermotosikal (URB) yang cuba menahan suspek.

“Susulan itu, hebahan bantuan dibuat dan beberapa kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Serdang dan Subang Jaya mengejar kereta Bezza tersebut dengan jarak 50 kilometer melalui Lebuhraya Damansara Puchong.

“Kenderaan itu berjaya ditahan di Bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau,  polis menahan seorang lelaki sebelum  direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Kes ini juga disiasat ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasan Trafik (BSPT) dan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,”jelasnya.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dikejar kira-kira lebih daripada 20 unit peronda polis (MPV) dari Petaling Jaya ke Cyberjaya, semalam.

Menerusi video berdurasi 51 saat itu, pemandu Bezza dilihat tetap meneruskan perjalanan meskipun dikejar oleh sepasukan polis. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya