KOTA BHARU: Pelajar sekolah termasuk penjawat awam antara 688 individu yang ditahan polis atas pelbagai kesalahan berkait dengan dadah menerusi Op Tapis Bersepadu di seluruh negeri bermula 4 hingga 11 Disember lalu.
Kesemua individu yang ditangkap berumur antara 17 tahun hingga 69 tahun
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, operasi selama lapan hari itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM 157,800.08.
Menurutnya, rampasan itu melibatkan dadah jenis pil yaba, heroin, ganja, syabu, pil psikotropik, pil erimin 5, ubat batuk, air ketum dan daun ketum.
“Jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 11,976 orang penagih.
“Pada masa sama, polis turut menyita pelbagai harta terdiri daripada kenderaan, wang tunai dan wang dalam akaun yang dianggarkan bernilai RM 21,999.52,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai penahan pelajar sekolah itu, Muhamad Zaki memberitahu, remaja berkenaan ditahan dalam serbuan Kampung Pengkalan Cina, Beris, Bachok dekat sini.
Katanya, serbuan jam 11.50 pagi itu membawa kepada rampasan liter air ketum dan saringan air kencing mendapati suspek negatif serta tidak mempunyai rekod lampau berkait dadah.
“Kes melibatkan penjawat awam berusia 47 tahun, kita tahan suspek berkenaan di sebuah stor di Kampung Pulau Pasir Badang, di sini pada pukul 1 tengah hari.
“Pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan pil yaba seberat 0.9 gram di dalam sebuah bilik stor. Saringan air kencing mendapati suspek positif dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, Polis Kelantan akan terus berusaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Katanya, masyarakat diharap dapat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di talian 012-2087222 dan atau 09-7455555.-UTUSAN