PETALING JAYA: Pekerja-pekerja ekonomi gig kecewa apabila kerajaan membuat pusingan U terhadap penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) seperti yang pernah dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Julai lalu.
Ketua Aktivis Gabungan e-hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, industri ekonomi gig menaruh harapan tinggi pada kerajaan untuk menyelesaikan isu yang membelenggu mereka selama ini terutama mengenai kadar upah.
Katanya, penubuhan SEGiM diyakini mampu menyelesaikan perkara yang bertindih selama ini terutama dalam isu bidang kuasa dan bukannya menyebabkan lagi lebih banyak perkara menjadi semakin bertindih.
SETUJU
“Seperti Timbalan Perdana Menteri katakan, beliau janji SEGiM pasti akan direalisasikan oleh Perdana Menteri sebab Datuk Seri Anwar Ibrahim secara dasarnya sudah bersetuju, tetapi hari ini lain pula yang berlaku.
“Jadi kita memang amat kecewa, kenapa Menteri Sumber Manusia (V. Sivakumar) perlu menyebut yang kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan SEGiM dengan alasan bakal berlaku penindihan jawatankuasa.
“Sebab setahu saya jawatankuasa sedia ada adalah yang berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang langsung tidak ada kena mengena dengan Kementerian Sumber Manusia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pada 17 Julai lalu, media melaporkan, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa SEGiM akan ditubuhkan secepat mungkin, bagi menambah baik perlindungan sosial serta kebajikan penggiat industri berkenaan.
Walau bagaimanapun, Sivakumar memaklumkan kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan SEGiM memandangkan peranannya bertindih dengan jawatankuasa sedia ada.
JANJI
Mengulas lanjut, Jose berkata, Ahmad Zahid perlu mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan Sivakumar yang mengatakan kerajaan tidak bercadang menubuhkan SEGiM kerana ia bertentangan dengan janjinya sebelum ini.
“Takkanlah daripada Timbalan Perdana Menteri sendiri yang bercakap bahawa Perdana Menteri sudah bersetuju tetapi ada menteri lain dalam Kabinet yang mengatakan perkara berlawanan. Adakah mereka tidak berbincang?
“Kita tidak mahu rakyat kita yang bekerja di dalam industri ekonomi gig diperbodohkan dan diperhambakan dengan industri melalui kadar upah yang tidak masuk akal,” katanya.
Tambahnya, lebih daripada 85 peratus pekerja yang terlibat dalam industri ekonomi gig merupakan orang Melayu dan bumiputera.
“Satu langkah berani serta drastik perlu diambil supaya nasib mereka terbela dan industri itu boleh berkembang dalam suasana menang-menang bagi semua pihak,” ujarnya. – UTUSAN










