ARAU: Menjadi rutin seawal pukul 6.30 pagi, Zaiman Megat Abu, 22, keluar rumah mencari rezeki menoreh getah dengan pendapatan sekitar RM20 sehari bagi membantu keluarga yang hidup serba kekurangan di Kampung Padang Telela di sini.
Dia bersama kakaknya, Hazalina,37, melakukan kerja-kerja menoreh dan pelbagai lagi kerja kampung lain bagi menampung kehidupan seharian.
Manakala pada sebelah petang dan malam pula, Zaiman yang mengalami masalah pekak dan bisu itu menumpukan sepenuh tumpuan menjalani latihan lompat kijang dan lompat jauh di bawah kendalian jurulatihnya, Sanusi Zainal Abidin,57, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad di Tambun Tulang di sini.
Kakaknya juga tanpa pernah mengenai erti penat dan lelah sejak Zaiman berusia 17 tahun lagi menghantar adiknya itu setiap petang dan malam menjalani latihan dengan menaiki motosikal jenis Modenas Kriss demi untuk melihat insan kesayanganya itu berjaya dalam bidang yang diceburi.
Kepayahan hidup Zaiman itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha gigih sehingga berjaya mengharumkan nama Malaysia dan negeri ini selepas memperolehi pingat emas dalam acara lompat kijang dengan cacatan lompatan 14.32 meter pada Kejohanan Olahraga Pekak Asia-Pasifik Ke-1 di Tehran, Iran baru-baru ini.
Anak bongsu daripada lima beradik itu juga meraih pingat Perak bagi acara lompat jauh dengan cacatan lompatan 6.32 meter.
Secara tidak langsung, catatan tersebut juga menyaksikan Zaiman menduduki ranking kedua dunia bagi acara lompat kijang seterusnya menjadi prospek emas negara di Deaflympics yang setaraf dengan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo, Jepun pada 2025.
Ibu Zaiman, Maznah Mansor, 58, berkata, dia dan keluarga cukup bangga dengan pencapaian anaknya itu yang memperolehi pingat Emas dalam Kejohanan Olahraga Pekak Asia-Pasifik baru-baru ini.
Katanya, Zaiman juga menjadi antara tonggak keluarga ketika ini bagi mencari rezeki menampung kehidupan mereka sekeluarga selepas suaminya yang mengalami masalah jantung sudah tidak lagi mampu bekerja.
Ujarnya, Zaiman sangat rajin, setiap pagi selepas Subuh sejak di bangku sekolah lagi bersama kakaknya menoreh getah serta melakukan pelbagai lagi kerja kampung lain.
“Selepas habis kerja-kerja menoreh, pada sebelah petang dan malam, Zaiman akan pergi menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh sehingga akhirnya mencapai kejayaan. Jika tidak menoreh, dia akan melakukan kerja-kerja berat lain seperti mengangkat baja dan pelbagai lagi, asalkan boleh jana pendapatan.
“Zaiman selalu memaklumkan, niat dia menyertai sukan ini hanya satu iaitu untuk mengubah nasib keluarga dan ia menjadi motivasinya untuk terus berusaha gigih,” katanya.
Sementara itu, Utusan Malaysia yang mengunjungi rumah Zaiman dan mengikutinya ke kebun getah melihat sendiri bagaimana kecekalan dan kesungguhan anak muda itu
disebalik kehidupan serba kekurangan namun tetap berjaya menyinar di pentas antarabangsa.
Wartawan Utusan Malaysia juga meluangkan masa ke SMK Syed Ahmad bagi menyaksikan Zaiman menjalani latihan bersama jurulatihnya dalam keadaan fasiliti serba kekurangan namun langsung tidak melemahkan semangatnya dalam menempa kejayaan di peringkat tertinggi.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia mendapat perkhabaran duka bahawa bapa Zaiman baru meninggal dunia awal pagi, kelmarin.- UTUSAN










