KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menahan enam lelaki termasuk seorang warganegara India dan Orang Asli selepas didapati menjual sebanyak 825 karton rokok serta arak seludup bernilai RM136,507 termasuk cukai dalam serbuan di tujuh buah kedai runcit di Gua Musang dekat sini, minggu lalu.
Kesemua suspek yang merupakan pekerja dan pemilik premis berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditahan menerusi Op Label Palsu bermula 11 hingga 13 Disember lalu.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang awam berkait dengan penjualan rokok dan arak seludup di kawasan premis-premis sekitar Lojing, sekitar daerah ini dan sebahagian kawasan di Cameron Highlands, Pahang.
Menurutnya, hasil serbuan yang dijalankan mendapati peniaga di premis terbabit menjalankan aktiviti tersebut secara bersembunyi dan hanya menjual sekiranya diminta oleh pelanggan.
“Siasatan mendapati, kedai runcit itu menyasarkan jualan barangan seludup tersebut kepada pekerja-pekerja ladang di daerah tersebut.
“Selain itu, kita turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey yang dipercayai digunakan oleh salah seorang peniaga premis tersebut,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, siasatan mendapati MPV tersebut merupakan kenderaan klon dan ia dibawa masuk ke negara ini dari Singapura.
Katanya, JKDM Kelantan masih menyiasat modus operandi yang digunakan oleh penyeludup untuk membawa masuk barangan tersebut sama ada menggunakan jalan laut atau dari negeri di sebelah barat Semenanjung.
“Lima suspek warga tempatan sudah dibebaskan dengan jaminan antara RM5,000 hingga RM6,000 manakala warganegara India itu pula ditahan reman selama 14 hari bermula 13 Disember lalu,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976.-UTUSAN