ISKANDAR PUTERI: MIC bakal mengikut jejak langkah UMNO apabila tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti, tahun depan.
Ketua Pemuda MIC, K. Raven Kumar berkata, perkara itu telah diputuskan di peringkat perwakilan parti dan bukan keputusan kepimpinan semata-mata.
Menurutnya, keputusan itu bukan dibuat bagi mengelakkan perpecahan berlaku dalam kalangan ahli parti.
“Sebenarnya tiada perpecahan di dalam parti, sejak dahulu lagi tiada ‘team A’ atau ‘team B’ dalam MIC. Keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan ini juga bertujuan memudahkan usaha pemulihan dan perancangan masa depan parti.
“Saya tidak pernah dengar dakwaan Presiden dan Timbalan Presiden tidak rapat, sebaliknya saya lihat mereka sangat baik dan sentiasa bekerjasama, tidak dengar apa-apa ura-ura berkenaan itu,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Forest City ke Tuas, Singapura di Hotel Marina Forest City, di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Sementara itu, Raven Kumar yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri yakin parti itu masih berada dalam keadaan terbaik walaupun tidak memenangi banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. – UTUSAN