Maut sehari selepas lesen tamat tempoh - Utusan Malaysia

Maut sehari selepas lesen tamat tempoh

MANGSA meninggal dunia ditempat kejadian selepas Proton Iswara dipandunya hilang kalawan dan bertembung dengan Honda HR-V di Jalan Kuantan-Sungai Lembing di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pekerja sebuah pasaraya maut selepas terlibat kemalangan di Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini hari ini.

Mangsa, Muhammad Daniel Haiqal Yusdi, 24, meninggal dunia ditempat kejadian selepas Proton Iswara dipandunya bertembung dengan sebuah Honda HR-V dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, hasil siasatan mendapati, lesen memandu P kelas B2 dan D mangsa baharu sahaja tamat tempoh semalam.

Katanya, kejadian dianggarkan berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Lembing ke Kuantan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, Proton Iswara terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Honda HR-V dinaiki empat sekeluarga.

“Akibat kemalangan itu, Muhammad Daniel Haiqal tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu dan penumpang Honda HR-V mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.

Wan Mohd. Zahari juga berkata, kes disiasat di bawah 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk tindakan selanjutnya.

Beliau juga memberitahu pihaknya sedang mengesan saksi kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya