Lian Ker dinasihat jangan cuba percik api perkauman libat 3R - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Lian Ker dinasihat jangan cuba percik api perkauman libat 3R – Wan Rosdy

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker diingatkan jangan cuba memercik api perkauman dalam agenda melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R) apabila meminta kerajaan tidak meneruskan program Kongres Ekonomi Bumiputera sebaliknya menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut mengingatkan supaya bekas Naib Presiden MCA itu supaya jangan nampak terlalu terdesak, bimbang nanti tersedak.

Jelas Menteri Besar itu, ucapan disampaikan oleh Lian Ker sejak akhir-akhir seakan sengaja mencari masalah, tidak pasti sama ada luka masih berdarah melihat keakraban kerajaan perpaduan atau sengaja hendak mencari nama atau publisiti di ‘hujung nyawa’ politik beliau.

“Kunci terhadap Malaysia yang lebih berpadu dan harmoni adalah orang Melayu harus kuat dan stabil baik dari sudut politik mahupun ekonomi.

“Sejarah sudah membuktikan jika agenda Melayu dan kepentingan Melayu terkebelakang, maka kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara juga turut akan terjejas keseluruhannya. Mundur Melayu, mundur jua lah negara.

“Jadi, apa masalah kalau ada kongres yang membincangkan soal ekonomi orang Melayu? Ini untuk kepentingan nasional dan nikmatnya akan turut dikongsi oleh kaum-kaum lain, seperti yang dinikmati sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, paling mustahak, tidak ada halangan untuk mana-mana kaum pun negara ini mengadakan kongres sedemikian.

“Masyarakat Cina sebagai contoh, mempunyai banyak kongres dan perbincangan yang diadakan melalui pelbagai persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan ekonomi, dan ia tidak langsung dijadikan isu.

“Malah saya sebagai Menteri Besar Pahang juga ada beri sumbangan khas Kerajaan Negeri kepada persatuan-persatuan ini,” katanya.

Terdahulu ucapan Lian Ker ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara yang meminta kerajaan tidak meneruskan program Kongres Ekonomi Bumiputera sebaliknya menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya, bekas Naib Presiden MCA itu menafikan bahawa dirinya mempertikaikan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera, sebaliknya mendakwa kenyataannya diputar belitkan sehingga melihatkan ia seperti berbaur perkauman.

Tampil mempertahankan dirinya, Lian Ker dilaporkan berkata, kenyataan beliau bersasar terhadap kegagalan Kongres Ekonomi Bumiputera untuk meningkatkan kedudukan ekonomi golongan sasaran setelah berpuluh tahun disebabkan budaya rasuah dan salah guna kuasa.

Pada masa sama, Lian Ker turut menyarankan kerajaan menerajui kongress ekonomi merangkumi semua di Malaysia demi mempertingkatkan ekonomi negara sekali gus menyelesaikan masalah ekonomi secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya