BAGAN SERAI: Penempatan etnik Rohingya di Kampung Parit Haji Ali di sini yang dilaporkan Utusan Malaysia baru-baru ini digempur pihak berkuasa dalam operasi bersepadu kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, operasi dilakukan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1, Jabatan Imigresen Negeri Perak, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian, Pejabat Agama Islam Daerah Kerian dan Majlis Daerah Kerian.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di 14 buah rumah mendapati 19 warga Myanmar dan seorang warga tempatan tinggal di kawasan tersebut.
“Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 18 orang daripada mereka memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa -Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) yang sah dan mereka dibebaskan tanpa syarat.
“Manakala seorang lagi ditangkap kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen,” katanya di sini.
Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan ditahan dilokasi serbuan kerana memiliki dadah dan hasil saringan air kencing didapati positif dadah.
Katanya, operasi bersepadu itu dilakukan susulan laporan akhbar ini mengenai keresahan penduduk berikutan kehadiran etni Rohingya yang semakin ramai di kampung itu sehingga menimbulkan masalah sosial.
Penduduk berkata, di kampung itu kini dianggarkan terdapat 30 buah keluarga etnik tersebut yang tinggal menyewa di kampung tersebut.
Hasil tinjauan mendapati mereka menyewa rumah penduduk di kawasan itu. – UTUSAN










