Hanya untungkan DAP, Pas bantah persempadanan semula

Hanya untungkan DAP, Pas bantah persempadanan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas menyifatkan cada­ngan persempadanan semula kawasan Parlimen khususnya di kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 100,000 hanya akan menguntungkan DAP menerusi pertambahan kerusi parti itu.

Justeru, Pas membantah se­keras-kerasnya sebarang cada­ngan persempadanan semula itu khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

HASHIM JASIN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kebanyakan kerusi yang pengundi melebihi 100,000 adalah di kawasan bandar yang majoriti pengundi bukan Melayu sekali gus akan memberi kelebihan kepada DAP.

TAMBAH

Malah, katanya, DAP berkemungkinan mampu menambah kerusi Parlimen daripada 40 ketika ini sehingga 80 kerusi sekali gus terus menguasai komposisi ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Kebanyakan pengundi majoriti Melayu adalah di kawasan luar bandar dengan pengundi tidak sampai 50,000. Pecahan melibatkan bilangan pengundi itu hanya akan terus merugikan Melayu Islam.

“Semua parti-parti politik Melayu khususnya perlu mempertahankan agar cadangan per­sempadanan semula ini tidak dilaksanakan. Jika hendak dilaksanakan juga (persempada­nan semula) jangan mengambil kira jumlah penduduk di sesuatu kawasan Parlimen sebaliknya perlu menyeluruh termasuk di kawasan-kawasan luar bandar,” katanya.

Sebelum ini, terdapat cadangan dan desakan pelbagai pihak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempada­nan semula kawasan Parlimen menjelang PRU16 berikutan penambahan jumlah pengundi yang tidak sama rata di sesuatu Parlimen.

Sebagai contoh, Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor pada Ahad lalu me­nyaksikan lebih 300 perwakilan sebulat suara menyokong usul persempadanan semula supaya nisbah bilangan pengundi lebih adil antara kawasan Parlimen.

Malah, ada cadangan supaya SPR mengkaji mengembalikan status kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 100,000 dan menambah kerusi baharu.

Bardasarkan laman web SPR, terdapat tidak kurang 85 kawa­san Parlimen yang mempunyai pengundi melebihi 100,000, yang jka kesemuanya dipecahkan kepada dua kawasan akan menyaksikan pertambahan ke­rusi Parlimen daripada 222 kepada 307 kerusi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai supaya kerajaan memulakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Hashim berkata, pilihan raya PBT tidak perlu dilaksanakan.

Katanya, apabila pelaksanaan pilihan raya PBT sudah dibatalkan, kenapa masih ada pihak yang membangkitkannya.

“Saya harap parti-parti politik Melayu Islam ini sedar mengenai perkara tersebut dan perlu bangkit bersama mempertahankan agar pilihan raya PBT ini tidak dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN