ECERDC realisasi pelaburan RM10.9 bilion di Kelantan

ECERDC realisasi pelaburan RM10.9 bilion di Kelantan

MOHD. Nassuruddin Daud (kiri) memukul rebana ibu sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)berjaya merealisasikan pelaburan sejumlah RM10.9 bilion di negeri ini sepanjang 15 tahun penubuhannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, kejayaan itu hasil kerjasama konsisten Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kerajaan Negeri sehingga berjaya mewujudkan hampir 10,000 peluang pekerjaan dan lebih 2,000 peluang keusahawanan kepada rakyat di negeri ini.

Menurutnya, selain menarik pelaburan ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), ECERDC turut menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi negeri melalui pelaksanaan beberapa projek infrastruktur strategik.

“Antara projek infrastruktur strategik yang dilaksanakan adalah menaik taraf Loji Rawatan Air di Wakaf Bunut dan Kelar serta projek pembangunan semula Kampung Laut yang terdiri daripada Laman Warisan Seni, Laman Warisan Serunding dan pemindahan Masjid Kampung Laut.

“ECERDC juga membangunkan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (Fasa 1A & 1B) yang akan memberi peluang kepada pelabur serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pemprosesan ikan hiliran,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Tunjong, di sini hari ini.

Baidzawi memberitahu, ECERDC juga akan membangunkan Taman Perindustrian Tok Bali (TBIP) yang mana ia dijangkakan akan bermula pada Disember 2023 dan menarik pelabur tempatan dan asing.

Katanya, pada masa sama ia mampu membuka peluang untuk mengembangkan perusahaan dalam pembuatan am serta produk pertanian hiliran dengan akses mudah ke Selatan Thailand.

“Kita sedang membangunkan Pelan Induk ECER 3.0 (EMP 3.0) bagi merangka pelan pertumbuhan masa hadapan untuk Kelantan. Salah satu fokus dalam EMP 3.0 adalah memodenkan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan peralihan daripada sektor perkhidmatan kepada pembuatan produk bernilai tambah tinggi.

“Pada masa ini, terdapat hampir 50,000 PMKS berdaftar di Kelantan dengan kebanyakannya diklasifikasikan sebagai perusahaan mikro. Dengan penambahbaikan kesalinghubungan logistik, sinergi antara PKS Kelantan dan PKS dari Thailand boleh diwujudkan sekali gus membuka peluang baharu di rantau ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya