Dua penjaja berlesen gajikan pekerja asing dikenakan kompaun - Utusan Malaysia

Dua penjaja berlesen gajikan pekerja asing dikenakan kompaun

ANGGOTA penguat kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas penjaja dalam operasi perniagaan warga asing yang dilaksanakan di Pasar Malam Taman Semarak Nilai, Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang penjaja berlesen yang didapati menggajikan pekerja warga asing dikenakan tindakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Cawangan Nilai menerusi operasi perniagaan warga asing yang dilaksanakan di Pasar Malam Taman Semarak, Nilai, semalam.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Hanizam Ahmad berkata, operasi berkenaan dilakukan berdasarkan aduan awam yang diterima mengenai terdapat ramai penjaja warga asing berniaga di pasar malam Taman Semarak, Nilai. 

“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 26 penjaja telah diperiksa dan daripada jumlah itu dua orang penjaja berlesen berusia lingkungan 42 dan 56 telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen UUK 6(3) Undang-Undang Kecil Penjaja MBS atas kesalahan menggaji pekerja warga asing. 

“Daripada siasatan lanjut mendapati, kedua-dua penjaja berkenaan masing-masing telah berniaga kira-kira 10 tahun,”katanya.

Beliau berkata, selain itu, empat penjaja tidak berlesen telah disita perniagaan kerana ingkar arahan majlis untuk tidak menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen dan kawasan larangan. 

“Dalam operasi tersebut sejumlah tujuh khemah, satu meja lipat, 10 telefon bimbit, dan aksesori telefon turut disita,”katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan secara berkala akan tetap diteruskan bagi memastikan aktiviti penjajaan yang melibatkan warga asing dapat dicegah. 

Operasi yang bermula puku; 6 petang berkenaan telah dilaksanakan dengan kekuatan 10 anggota penguat kuasa dan lapan orang kakitangan Jabatan Perlesenan MBS Cawangan Nilai. 

Operasi berkenaan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar. 

Sementara itu, Arul Kumar berkata, dalam syarat lesen penjaja dengan jelas menyatakan warga asing tidak boleh menjalankan perniagaan dan pelesen tidak boleh menggajikan warga asing di pasar malam.

“Diharap tindakan penguatkuasaan seperti ini dilakukan secara berkala bagi memastikan hanya penjaja warganegara yang berminat sahaja akan diberi keutamaan,”katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya