Nahas helikoter TLDM: Jiran buat persiapan pengebumian Amirulfaris - Utusan Malaysia

Nahas helikoter TLDM: Jiran buat persiapan pengebumian Amirulfaris

MOHD. Nazron Abu Samah ketika ditemui pemberita di hadapan rumah keluarga Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi di Taman Senawang Perdana, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Persiapan pengebumian sedang dilakukan oleh jiran sekiranya jenazah salah seorang mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pagi tadi iaitu Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 35, dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Senawang Perdana di sini.

Jiran keluarga mangsa iaitu, Mohd. Nazron Abu Samah, 55, berkata, sejurus mengetahui kejadian menimpa anaknya, ibu bapa Allahyarham yang berusia dalam lingkungan 60-an telah ke Perak bersama salah seorang adik-beradik perempuan Allahyarham pada tengah hari tadi.

“Semasa saya pulang ke rumah dalam pukul 11 pagi, isteri saya sudah ada di rumah keluarga Allahyaram bersama beberapa orang jiran yang lain, kami turut membantu membuat persiapan sekiranya jenazah di bawa pulang ke sini. 

“Ikut kata bapa Allahyarham ada permintaan untuk dikebumikan di sini namun bergantung kepada isteri Allahyarham memandangkan isterinya orang Manjung, Perak,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Senawang Perdana di sini.

TLDM hari ini mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Terdahulu Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita merupakan anggota dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika semua mangsa terlibat sedang mengikuti sesi latihan sempena Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.

Berdasarkan maklumat dikongsi, selain Mohammad Amirulfaris, enam lagi kru yang menaiki Pesawat HOM AW139 dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Muhammad Faisol Tamadun; Noorfarahimi Mohd. Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.

Tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali sebagai Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Sementara itu, Mohd. Nazron yang memberitahu telah diamanahkan untuk menjaga rumah keluarga Allahyarham sepanjang keluarga itu ke Perak berkata, Mohammad Amirulfaris merupakan seorang yang baik dan menghormati orang tua.

“Saya mula mengenali dengan baik keluarga berkenaan semenjak mereka mula menetap di sini pada tahun 2018. Allahyarham merupakan anak sulung dari empat beradik itu begitu menghormati orang yang lebih berusia.

“Sebelum ini Allahyarham bertugas di TLDM Lumut dan boleh dikatakan kerap juga pulang ke rumah keluarga di sini. Allahyarham baharu sahaja bertukar tempat kerja di Sabah (TLDM Kota Kinabalu) dan isterinya turut ikut sama ke sana. 

“Kali terakhir saya jumpa Allahyarham pada hujung tahun lalu. Aidilfitri pada tahun ini Allahyarham tidak balik ke sini (Seremban). Saya juga pada memang tidak menjangkakan kejadian di Lumut itu turut melibatkannya,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN