Devan mahu kekal bersama Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Devan mahu kekal bersama Negeri Sembilan

K. DEVAN selepas perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan dan Kuching City di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan FC, K. Devan menyatakan hasratnya untuk terus mengendalikan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Walaupun memaklumkan ada menerima tawaran daripada beberapa pasukan lain yang mahu mendapatkan khidmatnya namun Devan menjelaskan keutamaan diberikan kepada Negeri Sembilan.

Kata Devan, hasrat itu telah beliau maklumkan kepada pihak pengurusan baru-baru ini.

“Saya telah memberitahu pengurusan apa perancangan saya dan tunggu mereka untuk berikan kata putus, tawaran lain ada saya terima tetapi keutamaan saya berikan kepada pasukan Negeri Sembilan.

“Terpulang kepada pengurusan, saya telah beritahu minat saya, telah menawarkan diri untuk musim seterusnya dan yakin boleh buat lebih baik berbanding musim ini, apa sahaja keputusan pengurusan akan saya terima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan dan Kuching City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.

Perlawanan berkesudahan pelawat menang dengan keputusan 4-1 hasil dua jaringan Bruno De Araujo Dybal diikuti masing-masing satu gol oleh Yuki Tanigawa dan Pedro Henrique Cortes Oliveira Gois.

Gol saguhati tuan rumah pula diperoleh seawal minit keempat menerusi bekas penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi.

PEMAIN Negeri Sembilan kecewa selepas tewas kepada Kuching City dengan keputusan 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, ditanya tentang prestasi keseluruhan skuad kendaliannya pada musim ini, Devan menyatakan rasa puas hati walaupun pasukannya menghadapi beberapa kekurangan sepanjang musim.

“Banyak rintangan sepanjang musim dan juga pemain import yang minimum, bukan mudah untuk pemain berikan fokus, kesungguhan dan bermotivasi sepanjang musim, berada di tempat kesembilan satu pencapaian baik dan berbaloi dengan perbelanjaan yang telah diperuntukkan.

“Saya tidak mempersoalkan komitmen pemain, walaupun ada masalah di luar padang sehingga akhirnya mereka tetap turun padang dan bermain, ia satu sikap yang boleh kita hormati. 

“Saya puas hati dengan pencapaian, kalau saya dapat bantuan dan sokongan lain mungkin pencapaian lebih baik,” katanya.

Selepas mengharungi 26 perlawanan secara keseluruhan, Negeri Sembilan kekal di tangga kesembilan dengan meraih 27 mata hasil enam kemenangan dan sembilan keputusan seri.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN