PETALING JAYA: Jumlah rakyat mengambil dos penggalak atau suntikan vaksin Covid-19 yang ketiga dan keempat masih terlalu rendah sekali gus mendedahkan negara dengan risiko kesihatan awam berpanjangan.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi laman sesawang KKMNOW, kadar pengambilan suntikan vaksin keempat atau dos penggalak kedua hanya 2.5 peratus atau 828,338 orang iaitu rendah sejak mula dibuka kepada orang ramai pada April 2022.
Bagi suntikan ketiga atau dos penggalak pertama juga sama iaitu kurang memuaskan apabila hanya 50.1 peratus atau 16,346,968 penerima vaksin itu.
Keengganan mengambil dos penggalak boleh menambah jumlah kematian akibat Covid-19 khususnya membabitkan golongan berisiko berikutan terdedah kepada komplikasi penyakit kerana lemah imunisasi sekali gus terbuka dengan serangan virus lain.
Malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bulan lalu mendedahkan kerajaan kerugian RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin Covid-19 tamat tarikh luput berpunca orang ramai enggan mengambil dos penggalak Covid-19.
Faktor ramai enggan mengambil dos penggalak mungkin kerana mereka mengambil mudah ancaman Covid-19, lebih-lebih lagi apabila kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan manakala segelintir lagi mungkin ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin tersebut.
VAKSIN
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, belum masanya Kementerian Kesihatan perlu menyarankan pengambilan vaksin kelima untuk golongan rentan dan berisiko tinggi walaupun berlaku peningkatan jangkitan sehingga 20,696 sepanjang minggu lalu.
Menurut beliau, pihak berkuasa perlu melihat soal liputan pemberian vaksin ketiga dan keempat yang masih kurang memuaskan dan boleh mengundang pelbagai risiko dalam kalangan warga emas serta golongan komorbid.
“Malah ada beberapa negeri jumlah pengambilan dos penggalak rendah, sehingga kurang 50 peratus. Jadi ini menunjukkan banyak usaha kena dilakukan untuk meningkatkan liputan dos ketiga dan keempat berbanding saranan suntikan kali kelima.
“Maka dengan sebab itu, saranan suntikan kelima atau dos penggalak ketiga dilihat belum perlu kerana kerajaan perlu meningkatkan liputan suntikan ketiga dan keempat atau dos penggalak pertama dan kedua. Hal ini kerana ramai juga berpendapat vaksin ada kesan sampingan dan berbahaya, maka rakyat perlu diyakinkan mengenai pengambilan pelalian ini,” katanya.
Pada 15 Disember lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyarankan pengambilan vaksin kelima atau dos penggalak ketiga Covid-19 terutama bagi golongan rentan berikutan peningkatan jangkitan.
INDONESIA
Dalam masa sama, Kementerian Kesihatan Indonesia dilapor akan menyediakan dos kelima vaksin Covid-19 untuk warga emas dan mereka yang berisiko tinggi, sebagai perlindungan daripada subvarian Covid-19 baharu yang sedang meningkat di republik itu.
Pada minggu lalu, kes Covid-19 di Malaysia dilaporkan meningkat kepada 29,696 kes pada Minggu Epidemiologi ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Disember berbanding 12,757 jangkitan pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Radzi Abu Hassan sebelum ini berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan kes selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu, selain disebabkan cuti sekolah.
Dalam pada itu, Dr. Sharifa Ezat berkata, kerajaan perlu menyediakan vaksin influenza percuma kepada golongan rentan dan orang kurang upaya (OKU) kerana vaksin itu dicaj RM75.
Katanya, pihak berkuasa seharusnya memberikan tumpuan sama kepada jangkitan influenza apabila masih ramai dijangkiti virus itu kerana tidak mendapat vaksin.
DIPERLUASKAN
“Memandangkan ia perlu diambil setiap tahun, elok perlu diperluaskan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) untuk kos bayaran vaksin influenza. Kita juga perlu menggalakkan untuk mereka yang hendak keluar negara untuk bercuti dan sebagainya agar mengambil vaksin influenza vaksin sebelum berlepas,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, orang ramai diminta mengemaskini menerusi aplikasi MySejahtera jika dijangkiti Covid-19.
Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat melakukan pemantauan dan memberikan rawatan termasuk ubat antiviral Paxlovid yang boleh mengurangkan gejala Covid-19 dan mengelakkan penyakit daripada menjadi lebih teruk.
Beliau berkata, bekalan ubat dan pelitup muka serta ujian pengesanan Covid-19 di seluruh negara masih mencukupi.
Katanya, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik kerana tindakan itu boleh menjelaskan bekalan di pasaran sehingga stok jualan tidak mencukupi.
“Sejak sebulan dua ini banyak kes Covid-19 dan influenza ataupun demam panas dan menyebabkan permintaan ubat di pasaran memang tinggi. Namun di farmasi swasta seluruh negara, walaupun permintaan tinggi tetapi bekalan masih terkawal dan boleh menampung keperluan orang,” kata beliau. – UTUSAN










