PETALING JAYA: Virus Covid-19 bukan lagi ancaman selepas hampir 90 peratus penduduk sudah melengkapkan dua dos vaksin dengan 50 peratus daripada mereka mengambil suntikan dos penggalak wabak itu.
Sebaliknya Kerajaan Perpaduan perlu memberi tumpuan kepada virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan selain mudah merebak melalui udara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, kerajaan tidak perlu melatah untuk mewajibkan dos penggalak Covid-19 kepada penduduk negara ini.
Menurut beliau, ini kerana sistem imunisasi manusia mempunyai sel memori untuk bertindak balas sekiranya mendapat jangkitan virus berkenaan.
“Mereka yang sudah ambil dua dos vaksin serta dos penggalak pertama dan mendapat jangkitan selepas itu sepatutnya telah ada imunisasi. Jadi tidak perlu lagi tambahan (dos penggalak) sebab sistem imunisasi ada memori yang akan bertindak balas.
“Bagi yang sudah ambil dos penggalak, tetapi tidak kena jangkitan Covid-19, maka terpulang kepada mereka (untuk dos penggalak tambahan), jadi cuma sebagai pilihan dan tidak perlu diwajibkan.
“Bagi orang dewasa yang berusia 70 tahun dan ke atas serta tergolong dalam kumpulan penyakit komorbiditi, ada kemungkinan sistem imunisasi telah lemah, jadi mereka ini berkemungkinan memerlukan dos penggalak sekiranya tidak pernah mendapat jangkitan, tetapi kalau sudah kena jangkitan, maka tidak perlu.
HAYAT
“(Imunisasi terhadap jangkitan Covid-19 adalah) sepanjang hayat. Jika individu itu sihat (tiada risiko komorbiditi), maka sekali kena jangkitan (sel memori imunisasi) akan ingat sepanjang hayat. Kalau individu itu ada risiko pun, (imunisasi terhadap jangkitan Covid-19) tidak terus hilang, cuma lemah sahaja,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, orang ramai digalakkan segera mengambil dos penggalak walaupun kadar jangkitan ketika ini masih rendah dengan satu arahan akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan nanti.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi jaminan bahawa stok vaksin dos penggalak masih mencukupi dalam simpanan kementerian dan belum mencapai tarikh luput penggunaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan kembali mengamalkan pemakaian pelitup muka apabila berada di tempat sesak.
Mereka yang dikesan ada gejala Covid-19 dinasihatkan supaya mengelak berada di kawasan awam untuk mengurangkan risiko penularan kes kepada individu lain.
Setakat 9 Disember lepas, sebanyak 20,017 kes aktif Covid-19 direkodkan dengan sejumlah 19,550 individu atau 97.7 peratus menjalani kuarantin di rumah.
Sejumlah 446 kes atau 2.2 peratus ditempatkan di hospital dengan 13 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP), manakala lapan kes di ICU, tetapi tidak memerlukan ABP.
KERAJAAN
Mengulas lanjut, Sazaly yang juga pakar virologi berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada jangkitan Influenza kerana kebanyakan individu di negara ini tidak mendapat vaksin jangkitan tersebut.
Oleh itu, katanya, kerajaan tidak perlu membazirkan wang untuk mendapatkan vaksin Covid-19 selepas mengambil kira sistem imunisasi manusia yang boleh bertahan sepanjang hayat.
“Sekarang ini masalah kita di Malaysia, bukan sahaja hadapi Covid-19, tetapi hadapi influenza. Jadi macam-macam jangkitan saluran pernafasan.
“Sekarang ini kita (mahu) tingkatkan Covid-19 sedangkan sudah ada vaksin, tetapi yang bahayanya Influenza sedangkan tidak ramai ada vaksin,” katanya.
Justeru, Sazaly menyarankan orang ramai mengamalkan langkah penjagaan seperti mana yang sudah diamalkan sebelum ini.
“Contoh bagi mereka yang ada gejala dan simptom, maka jangan jangkiti orang lain, perlu pakai pelitup muka dan jauhkan diri daripada orang lain. Amalkan semula penjarakan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman menyifatkan, penggunaan dos penggalak amat wajar untuk dilaksanakan kerana virus yang sentiasa bermutasi.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan itu hanya boleh disokong sekiranya kerajaan menggunakan vaksin generasi baharu atau bivalen yang melindungi daripada varian Covid-19 termasuk Omicron.
“Penggunaan vaksin itu perlu sebab virus selesema pun kita ada vaksin tahunan kerana setiap tahun virus berbeza.
“Jadi, virus Covid-19 dalam masyarakat kita pun mungkin sudah bermutasi lebih jauh daripada Omicron, tetapi tidak seteruk varian Alpha dan Delta.
“Tetapi kenapa vaksin Covid-19 masih lagi (jenis) yang lama. Sudah sampai masanya kerajaan bawa masuk vaksin bivalen,” katanya. – UTUSAN










