Beri tumpuan sukan orang pekak, setaraf Olimpik, Paralimpik

Beri tumpuan sukan orang pekak, setaraf Olimpik, Paralimpik

ZAIMAN Megat Abu menjalani latihan bersama jurulatihnya Sanusi Zainal Abidin,57, dalam keadaan fasiliti serba kekurangan di SMK Syed Ahmad, Tambun Tulang, Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kesungguhan tanpa mengenai erti putus asa menjalani latihan sejak berusia 17 tahun menjadi antara faktor kejayaan Zaiman Megat Abu meraih pingat emas dalam acara lompat kijang dengan cacatan lompatan 14.32 meter pada Kejohanan Olahraga Pekak Asia-Pasifik Ke-1 di Tehran, Iran baru-baru ini.

Zaiman yang kini berusia 22 tahun juga cemerlang dengan mencipta sensasi memecah rekod acara lompat jauh dengan cacatan sejauh 6.59 meteri dan lompat kijang dengan lompatan 14.19 meter dalam Kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2023.

Jurulatih Zaiman, Sanusi Zainal Abidin,57, berkata, anak didiknya itu sangat bersemangat, cukup berdisplin dan terus gigih berusaha menjalani latihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad sehingga akhirnya menempa kejayaan.

Guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan SMK Syed Ahmad yang turut melahirkan ramai bakat dalam sukan olahraga termasuk jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly itu berkata, meskipun fasiliti latihan serba kekurangan namun Zaiman tetap menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh.

Katanya, menjadi rutin, Zaiman menjalani latihan pada pukul 4 sehingga 7 petang dan menyambung latihan pada sebelah malam dari pukul 8.30 sehingga 10.30 malam.

Ujarnya, kesungguhan dan kecekalan Zaiman yang mempunyai hanya satu niat untuk merubah nasib keluarga itu membantunya mencapai kejayaan bukan sahaja di dalam negara malah di pentas antarabangsa.

“Sasaran kita adalah untuk memperolehi emas acara lompat kijang Deaflympics Tokyo, Jepun pada 2025. Ke arah itu, Zaiman akan menyertai beberapa kejohanan tahun depan seperti kejohanan dunia di Taiwan Julai tahun depan, Asia Pasific dan Sukan SEA di Jakarta.

“Zaiman juga akan menjalani latihan di Jepun tahun depan selama sebulan sebagai persiapan menyertai kejohanan-kejohanan besar itu.

“Di Olimpik (Deaflympics Tokyo) pada 2025, kita mensasarkan pingat Emas bagi acara lompat kijang sekali gus mencipta sejarah pingat Emas pertama negara bagi acara berkenaan. Kita yakin dengan latihan berterusan ia sasaran pingat Emas itu mampu menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Sanusi berharap sukan olahraga pekak itu diberi perhatian memandangkan ia mempunyai potensi besar menyinar dan menempa kejayaan di pentas antarabangsa.

“Meskipun kita dalam keadaan serba kekurangan termasuk daripada aspek fasiliti latihan atau tajaan-tajaan jika menyertai sesuatu kejohanan besar namun atlet-atlet ini tetap memberi komitmen terbaik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN