SEREMBAN: Berikutan kejadian banjir kilat susulan hujan lebat yang berlaku malam tadi, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Lenggeng di sini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban dalam kenyataan memaklumkan, PPS yang dibuka pada pukul 1.30 pagi tadi itu menempatkan seramai 68 orang mangsa daripada 16 buah keluarga.
Ia menempatkan mangsa dari tiga buah kampung iaitu Kampung Chelogeh, Kampung Batu 18, dan Kampung Sungai Jai.
“Pada pukul 8.23 malam tadi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seremban menerima panggilan orang awam berkenaan berlakunya kejadian banjir kilat di Kampung Chelogeh.
“Anggota APM telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan. Trend air sungai menunjukkan penurunan namun keadaan masih deras,” kata kenyataan tersebut.-UTUSAN.