Banjir di Johor makin pulih, hanya Segamat terjejas - Utusan Malaysia

Banjir di Johor makin pulih, hanya Segamat terjejas

MANGSA banjir di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir berkurangan menjadi 63 orang daripada 16 keluarga, setakat 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 121 penduduk daripada 39 keluarga, semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, hingga kini hanya daerah Segamat masih terkesan akibat banjir dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, iaitu di Dewan Komuniti Taman Tasek, Balai Raya Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Jabi.

“Daripada jumlah itu, seramai 41 penduduk Kampung Seberang Batu Badak ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak manakala 14 mangsa banjir dari kampung sama ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Taman Tasek.

“Sementara itu, seramai lapan penduduk Kampung Sermin yang terjejas dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Jabi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azmi memberitahu, Sungai Lenik Ladang Chaah di Segamat menghampiri paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 5.59 meter (m).

Menurut maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, turut berada di paras waspada ialah Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur yang merekodkan bacaan 3.42 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula melaporkan ribut petir dan hujan lebat diramalkan berlaku di Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN