Bangsa Johor jadi asas perpaduan, bina negara lebih sejahtera - Chin Tong - Utusan Malaysia

Bangsa Johor jadi asas perpaduan, bina negara lebih sejahtera – Chin Tong

LIEW CHIN TONG menyampaikan ucapan pada Konvensyen DAP Johor di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Bangsa Johor yang merangkumi semua kaum boleh dijadikan asas perpaduan negara serta penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas sekian lama negara dilanda dengan retorik yang berasaskan kaum dan agama. 

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, walaupun ada yang tidak selesa dengan idea kepelbagaian kaum, namun perbezaan etnik, bahasa dan agama harus diraikan sebagai khazanah negara dan bukannya alat untuk memusuhi sesama sendiri.

Matlamatnya adalah untuk melahirkan masyarakat yang berasaskan Bangsa Malaysia yang perlu bersatu dan menolak idea perkauman memecah-belahkan masyarakat.

“Prinsip politik kita adalah berasaskan harapan dan bukannya ‘politik ketakutan’ dan dalam perjuangan politik kita harus beraspirasi untuk membina Malaysia yang lebih sejahtera dan lebih maju. 

“Kita menolak politik yang berasaskan kebencian, saya yakin suatu hari nanti kita akan dapat mengatasi gejala politik benci dan dapat bekerjasama atas dasar saling memahami antara satu sama lain,” katanya semasa berucap pada Konvensyen DAP Johor, di sini  hari ini. 

Menurut Chin Tong, Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah mempunyai kerjasama yang baik dengan kerajaan negeri Johor yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurutnya, kerjasama itu terjalin berasaskan dua prinsip, iaitu pertama, keberadaan dalam kerajaan yang sama di peringkat Persekutuan sudah tentu baik untuk PH bekerjasama dengan kerajaan negeri Johor yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN).

“Yang kedua adalah dalam hal-hal di mana pihak kerajaan begeri telah memberi ruang kepada PH untuk menyumbang idea demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat, usul-usul atau rundingan-rundingan tersebut akan kita beri sokongan secara rasmi,” katanya.

Chin Tong turut berharap hubungan yang baik itu dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2027 nanti, PH dan UMNO dapat menggembleng tenaga sebagai sebuah pasukan. 

“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana ada penyokong kedua-dua pihak yang tidak setuju dengan kerjasama ini, namun perlu menerima hakikat bahawa seperti apa yang telah dibuktikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Jeram sebagai satu formula untuk mempertahankan kestabilan Kerajaan Perpaduan,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.