JOHOR BAHRU – Pengendali skuad remaja, Muhamad Amin Rahim akui Young Tigers ‘lambat panas’ ketika tewas 2-3 kepada Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pasukannya ketinggalan tiga gol pada separuh masa pertama dan sedikit terlewat untuk mempamerkan kebangkitan untuk mencuri satu mata.
Katanya, perancangan untuk bermain secara agresif sebaik perlawanan bermula tidak menjadi sebaliknya pasukan tuan rumah memberi ruang kepada Pakistan untuk menguasai padang.
“Jika ikut perancangan, pasukan kena bermain agresif untuk mengutip mata kemenangan sebab kita tahu kekuatan Pakistan, malangnya itu tidak berlaku, malah kita terlalu memberi ruang kepada mereka.
“Apabila memasuki bilik persalinan, saya minta pemain beri tekanan kepada lawan. Ini dapat disaksikan bagi aksi suku ketiga dan keempat yang sepatutnya berlaku pada separuh masa pertama.
“Bagaimanapun, saya kena bagi pujian kepada pemain selepas ketinggalan 0-3 untuk bangkit dan berupaya skor dua gol namun ia sedikit terlambat bagi mencipta gol ketiga untuk mencuri satu mata,” katanya.
Mengulas tiga aksi peringkat kumpulan SOJC, Muhamad Amin berkata, banyak perkara perlu ditambah baik khususnya ketajaman penyudah bagi menghasilkan gol padang serta pukulan sudut penalti.
Katanya, apa yang menarik mengenai penyertaan SOJC tahun ini, The Young Tigers lebih berani melancarkan serangan dan berjaya mempamer persembahan yang lebih meyakinkan.
“Dalam tiga perlawanan ini, Kita melepaskan sembilan gol dan skor lima gol sahaja. Ada lagi untuk penambahbaikan untuk memastikan pasukan berjaya beraksi di tahap yang lebih baik.
“Kalau tengok kejohanan sebelum ini, contohnya Junior Asia Cup kita tewas dengan pasukan gergasi ini pada suku tiga dan empat namun dalam kejohanan ini kita mampu beri saingan pada lawan separuh kedua, ini petanda baik yang boleh kita manfaatkan.
“Dalam tiga pertemuan ini juga, ‘penetration’ ke kawasan gol lawan dan peluang dihasilkan juga tinggi, pemain perlu bijak untuk cari jalan meletakkan bola ke gawang lawan yang dilihat Masih lagi menjadi masalah kritikal,” ujarnya. – UTUSAN