MUAR: Nazir Lep, salah seorang rakyat Malaysia yang sudah kira-kira 20 tahun di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba dijangka membuat pengakuan bersalah terhadap enam pertuduhan yang dikenakan ke atasnya oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, abang Nazir, Najib Lep berkata, dalam satu pertemuan dengan delegasi peguam yang mewakili perbicaraan adiknya pada 21 Oktober lalu, mereka memaklumkan empat daripada 10 pertuduhan terhadap Nazir digugurkan.
Katanya, dalam perbicaraan akhir yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat, Nazir akan membuat pengakuan bersalah terhadap baki enam pertuduhan tersebut.
Kata Najib, jika ia dijatuhkan hukuman lama, Nazir seharusnya diberikan pertimbangan agar tempoh pemenjaraan dikira dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 2003.
“Peguam mengatakan hukuman penjara yang bakal diputuskan mahkamah mungkin bermula dari tarikh ia dijatuhkan. Bagi kami, ia sesuatu yang tidak adil kerana Nazir telah menjadi tahanan tanpa bicara hampir 20 tahun lamanya.
“Separuh hayatnya dihabiskan di Guantanamo, sepatutnya ia dikira dari tarikh adik saya ditangkap. Tambahan pula, adik saya memberikan kerjasama yang baik sepanjang dia ditahan di sana.
“Kami amat berharap Nazir tidak perlu menjalani hukuman penjara selama 25 tahun lagi. Seandainya hukuman itu dikira dari tarikh dia ditangkap, biarlah baki pemenjaraan itu dilaksanakan di penjara Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, doa ahli keluarga terhadap pembebasan Nazir semakin menjadi kenyataan apabila beberapa sumber boleh dipercayai bercakap mengenai pembebasannya.
Bagi menyambut kepulangan adik bongsu daripada lapan beradik itu, ahli keluarga Nazir sedang membina sebuah rumah di Muar di sini, buatnya.
DITANGKAP
Pada 2003, Nazir dan seorang lagi rakyat Malaysia, Mohammed Farik Amin ditangkap di Thailand selepas dipercayai terlibat dengan insiden pengeboman di Hotel J.W. Marriott di Jakarta, Indonesia.
Selain itu, mereka turut disyaki terlibat dengan pengeboman di Bali, Indonesia pada Oktober 2002 yang mengorbankan 202 mangsa.
Terbaharu, dilaporkan bahawa Nazir, 46, dan Mohammed Farik, 48, bersetuju membuat pengakuan bersalah dan hukuman ke atas mereka dikatakan bakal dijatuhkan antara Januari hingga Februari tahun depan.
Tambah Najib, dia berharap campur tangan Kerajaan Malaysia bagi membawa pulang Nazir menjalani tempoh pemenjaraan di negara ini, selepas pihak berkuasa AS memutuskan hukuman terhadapnya.
“Apa pun keputusan yang dibuat oleh pihak di sana, saya mohon kepada Kerajaan Malaysia bawa pulanglah Nazir ke sini. Biarlah dia jalani pemenjaraan di Malaysia kerana tempoh 20 tahun berpisah dengan keluarga itu bukan sesuatu yang singkat.
“Nazir sekarang sudah berumur 46 tahun, biarlah dia kembali ke negara asalnya. Kalau dipenjara lagi 25 tahun sekalipun, biarlah dijalani di Malaysia,” tegasnya.- UTUSAN










