Syukur selamat keluar – Nurul Ain

Syukur selamat keluar – Nurul Ain

NURUL Ain Haron dan suaminya, Mohamed Adan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas 37 hari terkandas di tengah-tengah pe­perangan antara Palestin-Israel, rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron meluahkan perasaan bercampur baur selepas selamat meninggalkan wilayah bergolak tersebut awal pagi semalam.

Berkongsi perasaannya kepada Utusan Malaysia, Nurul Ain, 37, lega kerana masih terselamat walaupun Semenanjung Gaza diserang tanpa henti oleh rejim zionis sejak 7 Oktober lalu malah berjaya keluar dari wilayah tersebut tanpa sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau sangat sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga mentuanya yang masih berada di Khan Younis dalam keadaan serangan berterusan saban hari.

“Perasaan bercampur baur, hendak tinggalkan mereka sa­yang tapi jika kami tidak keluar bagaimana hendak terus membantu keluarga dan penduduk Gaza lain.

“Saya juga rasa masih belum puas untuk memberi lebih bantuan kepada rakyat Gaza,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, Nurul Ain menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Duta Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail dan pegawai kedutaan yang dikenali sebagai ‘Puan Fay’ kera­na membantu proses pergerakannya keluar dari wilayah bergolak tersebut.

Menurut Nurul Ain, sebaik sahaja berjaya keluar dari pintu sempadan Rafah, beliau dan suami, Mohamed Adan Shaat, 33, di­sambut sendiri oleh Zamani sebelum dibawa menuju ke Arish, Mesir iaitu sekitar 48 kilometer dari pintu sempadan.

“Selepas berehat seketika di Arish, kami dibawa menuju ke Kaherah untuk ke rumah Duta Malaysia dan kemudiannya berangkat ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air pada jam 9.30 malam waktu Mesir (3.30 pagi waktu Malaysia).

“Jangkaannya saya akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 pada jam 8.30 malam waktu Malaysia (hari ini),” katanya.

Nurul Ain selamat dibawa keluar dari Khan Younis, Gaza selepas terkandas dalam konflik Palestin-Israel sejak 7 Oktober lalu melalui lintasan sempadan Rafah pada 2.23 pagi semalam waktu Malaysia.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar Negeri yang memaklumkan, Nurul Ain dise­lamatkan bersama suaminya, Mohamed Adan yang juga warganegara Palestin.

Dalam pada itu, Anwar berkata, campur tangan kerajaan membolehkan operasi menyelamat rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron berjalan lancar selepas 37 hari terkandas di Gaza ekoran konflik Palestin-Israel yang meletus pada 7 Oktober lalu.

“Dalam perbualan kami, Puan Nurul dan suaminya telah me­nyampaikan penghargaan dan ucapan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang sedaya-upaya memastikannya dan suami selamat dibawa keluar dari Gaza.

“Mereka turut merakamkan rasa terima kasih kepada kakita­ngan Kedutaan Malaysia yang tidak berputus asa dalam memastikan proses membawa mereka ke­luar dari zon perang dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Nurul Ain yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, berkahwin dengan rakyat Palestin iaitu Mohamed Adan, pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sudah sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga.

Ini juga adalah kali pertama Nurul Ain bersua muka dengan keluarga mentuanya selepas enam tahun melangsungkan perkahwinan memandangkan pergerakan untuk keluar masuk ke Gaza bukanlah suatu yang mudah termasuklah kepada rakyat Palestin sendiri.

Kedua-dua pasangan yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadualkan me­ninggalkan Gaza pada 25 Oktober melalui sempadah Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya, namun mereka terkandas di Khan Younis susulan peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×