SIdang DUN: Program Peka B40 kurang sambutan - Utusan Malaysia

SIdang DUN: Program Peka B40 kurang sambutan

LING TIAN SOON menggulung perbahasan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Program saringan kesihatan secara besar-besaran (Peka B40) kurang mendapat sambutan di negeri ini apabila hanya 118,667 orang tampil  menjalani saringan kesihatan hingga 31 Oktober lalu.  

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah itu amat kecil berbanding 786,033 orang yang layak menerima saringan kesihatan percuma tersebut.

Oleh itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif proaktif untuk mengadakan program klinik bergerak dengan peruntukan RM1.3 juta ke 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri. 

“Program ini dijangka dapat memberikan ketercapaian perkhidmatan kesihatan asas seperti perkhidmatan kaunseling, perkhidmatan kesihatan pergigian dan saringan kesihatan ke seluruh pelosok negeri Johor. 

“Program ini dapat meningkatkan penjagaan kesihatan di luar bandar dan memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menerima penjagaan khas daripada pakar-pakar, khususnya golongan warga emas dan mereka yang berkeperluan khas,” katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan Johor 2024  pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, kerajaan negeri mengambil beberapa inisiatif bagi menangani kesesakan pesakit di Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Kerajaan negeri  memperuntukkan RM170,000 untuk menambah lokar bagi memudahkan pesakit yang memerlukan perubatan secara berkala.

“Pesakit tidak perlu lagi pergi ke hospital dan beratur mendapatkan ubat, sebaliknya mereka hanya perlu menunggu notifikasi daripada hospital dan terus ke lokar yang terletak di kawasan pasar raya. 

“Kerajaan negeri juga telah bersetuju memperuntukkan RM900,000 bagi menyediakan perkhidmatan pos ubat supaya mereka boleh terima ubat di rumah, sekali gus mengurangkan kesesakan di HSA yang menerima 2,000 pesakit sehari,” katanya.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1 juta bagi mewujudkan aplikasi perkhidmatan digital pesakit luar, iaitu Smart Queue System (SQS) untuk penyelarasan temu janji dan pengurusan giliran pesakit secara dalam talian di Poliklinik HSA.

“Sistem ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 57,000 pesakit sebulan dengan mengurangkan kesesakan di poliklinik hospital.

Dalam pada itu, Tian Soon memberitahu, sebanyak 14 klinik kesihatan dan 29 klinik desa telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi kerja-kerja naik taraf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya