Sidang DUN: MAINJ kutip RM298 juta zakat, garis 15 titik fokus bantu masyarakat - Utusan Malaysia

Sidang DUN: MAINJ kutip RM298 juta zakat, garis 15 titik fokus bantu masyarakat

MOHD. FARED MOHD. KHALID menggulung perbahasan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berjaya meningkatkan hasil kutipan zakat semasa lebih RM298 juta hingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, jumlah itu kira-kira 83 peratus daripada sasaran kutipan pada tahun ini, iaitu sebanyak RM358 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM283 juta telah diagihkan kepada lapan pecahan asnaf yang layak. Pihak MAINJ juga sentiasa komited dalam memberi pemahaman berkaitan kewajipan berzakat.

“Antara pelaksanaan yang dibuat ialah memperbanyakkan kaedah saluran bayaran sama ada secara fizikal mahupun dalam talian,” katanya semasa sesi penggulungan Belanjawan Johor 2024 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, MAINJ turut melantik beberapa rakan kutipan zakat bagi tujuan dakwah dan menerima zakat seperti amil zakat harta, amil zakat korporat dan amil zakat institusi.

Hingga kini, seramai 2,170 amil telah dilantik meliputi amil fitrah, amil harta, amil agihan dan amil korporat. 

Dalam pada itu, MAINJ menggariskan 15 titik fokus yang melibatkan peruntukan lebih RM200 juta bagi memberi manfaat kepada 500,000 penerima pada tahun depan.

Daripada jumlah itu, RM190 juta diperuntukkan bagi kebajikan asnaf, sebanyak RM22.8 juta bagi pengambilan guru dan penyelenggaraan Sekolah Agama 

Kerajaan Johor (SAKJ), manakala RM64,000 bagi pembangunan sistem penyelarasan bantuan membaik pulih masjid dan surau negeri serta SAKJ.

“Sebanyak RM1.98 juta akan dimanfaatkan bagi penambahan pemasangan internet di 160 buah masjid dan surau yang terpilih dan 200 SAKJ serta komitmen sedia ada,” katanya sambil memberitahu MAINJ turut memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi pemberian sebanyak 160 televisyen pintar bagi melengkapi pemasangan wifi di sekolah terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya