Sidang DUN: Johor sasar pelaburan RM60 bilion fasa ketiga PIPC - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Johor sasar pelaburan RM60 bilion fasa ketiga PIPC

Lee Ting Han
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak RM60 bilion pelaburan tambahan bagi pembangunan fasa ketiga di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Pengerang,  Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, sebanyak tujuh projek dalam perancangan yang dijangka mampu direalisasikan dalam tempoh pembangunan fasa ketiga PIPC bermula 2026 hingga 2031.

“Antara projek yang dirancang dan dijangka mampu dilaksanakan ialah pembinaan ladang solar, kilang penapisan bio dan fasiliti yang menghasilkan produk berkaitan nitril.

“Projek-projek ini masih dalam kajian, masih di peringkat awal. Projek-projek tersebut berkemungkinan (direalisasikan) dalam fasa ketiga PIPC kerana seperti projek kimia dan petrokimia, ia melibatkan perbelanjaan modal yang sangat tinggi,” katanya ditemui selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan Persekutuan mengumumkan PIPC yang merupakan kawasan industri hiliran minyak dan gas serta industri petrokimia seluas 9,269 hektar di Pengerang, dijadikan hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia.

PIPC menempatkan kemudahan seperti loji penapisan minyak, loji penghasilan petrokimia, terminal pengangkutan produk cecair, tangki-tangki penyimpanan minyak mentah dan produk petroleum cecair, loji penggasan semula serta prasarana dan kemudahan sokongan lain. 

Dalam pada itu, Ting Han berkata, pembangunan PIPC kini berada dalam pertengahan fasa kedua, iaitu bermula 2020 hingga 2025 dan setakat ini telah menerima pelaburan komited hampir RM140 bilion, iaitu 90 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.

“Sebanyak 7,400 peluang pekerjaan telah diwujudkan di kawasan Pengerang dalam  fasa pertengahan dan bagi fasa ketiga, kita harap boleh tambah lagi 10,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya