PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dilakukan secara profesional, adil dan bukan berniat jahat terhadap mana-mana pihak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka merasa ada keperluan untuk berbuat demikian.
Menurut beliau, tindakan pembekuan aset bagi membantu siasatan adalah berdasarkan Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana individu atau pihak.
“Ia adalah tindakan yang biasa dijalankan dalam mana-mana siasatan sekiranya ada keperluan. SPRM bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah justifikasi mengapa pembekuan aset dibuat,”katanya di sini.
Azam bekata, SPRM dipertanggungjawab dan diamanahkan untuk menyiasat dengan adil dan tegas terhadap semua isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
“Terutamanya kes berkepentingan awam yang melibatkan ketirisan dana,” jelasnya.
Semalam, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaunnya atau berdepan tindakan undang-undang.
PEMBEKUAN
Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, surat notis sudah dihantar hari ini mengikut Seksyen 44A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) untuk perintah pembekuan akaun dibatalkan atau diubah.
“Umum sedia maklum Aman Palestin dan ahli lembaga pengarah Aman Palestin kini sedang disiasat oleh pihak SPRM.
“Untuk makluman semua, kali pertama SPRM hadir ke premis berdaftar Aman Palestin adalah pada 17 Oktober lalu. Tiada serbuan atau tangkapan pada ketika itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Aman Palestin, di sini malam tadi.
Muhammad Rafique berkata, penggeledahan dan pembekuan akaun hanya berlaku sehari selepas kenyataan SPRM dikeluarkan pada 23 November lalu dan hingga kini, tiga kakitangan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan lima ahli lembaga pengarah sudah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Aman Palestin juga mengesahkan bahawa sebanyak 41 akaun dibekukan oleh SPRM kerana siasatan ini mengikut peruntukan AMLATAPUAA 2001, namun bukan semuanya milik Aman Palestin.
Beliau berkata, ada akaun berkenaan milik rakan strategik Aman Palestin dan akaun ahli lembaga pengarah serta kakitangan, manakala aset lain yang dibekukan termasuk 12 bidang tanah, empat bangunan dan empat kenderaan.
Selain itu, kata beliau, dana sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM15,868,762 turut dibekukan.
Kesemua aset ini semata-mata untuk pelaburan yang dibenarkan di bawah memorandum dan artikel Aman Palestin, bertujuan smempertingkatkan kebolehan Aman Palestin memberi bantuan kemanusiaan.
Ia bukan bagi tujuan peribadi ahli lembaga pengarah Aman Palestin, malah semua aset tersebut diperoleh secara halal dan bukan daripada sumber haram.
Muhammad Rafique berkata, Aman Palestin mempunyai kuasa antara lainnya menggunakan dana-dana yang dikutip dan melaburkan dalam pelbagai pelaburan patuh syariah serta patuh undang-undang.- UTUSAN