PUTRAJAYA: Kerajaan belum menerima permohonan daripada bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar atau peguamnya untuk membuat semakan hukuman mati terhadapnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan yang diterima setakat ini hanya melibatkan Azilah Hadri yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.
“(Setakat ini) belum ada maklumat apa-apa (mengenai Sirul) yang boleh saya sahkan. Cuma (yang buat permohonan) Azilah.
“Azilah yang tinggal di Penjara Sungai Buloh termasuk dalam kumpulan 900 pertama yang memohon semakan berkait hukuman. Sabitan kekal, (hanya) hukuman itu yang mereka minta untuk Mahkamah Persekutuan semak,” kata beliau pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 864) pada 4 Julai lalu.
Azilah dan Sirul , telah disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pertuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.
Mereka bagaimanapun telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua bekas anggota polis itu.
Sirul kemudian melarikan diri ke Australia. – UTUSAN