PETALING JAYA: Sabah FC mahu para pemain memberikan fokus 100 peratus dan mengelak daripada dibolosi pada awal perlawanan dalam aksi wajib menang ke atas Hai Phong FC untuk aksi keempat Kumpulan H Piala AFC malam ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau juga sudah mengenal pasti kelemahan yang ada pada pasukan ketika tewas pada lawan yang sama di Hai Phong dua minggu lalu dan tidak mahu perkara yang sama berulang di Stadium Likas.
“Sudah tentu kita tidak mahu bolos awal seperti perlawanan sebelum ini dan kita sudah jadikannya pengajaran dan perlu fokus sehingga wisel penamat dibunyikan untuk memastikan tiga mata menjadi milik Sabah.
“Perlawanan esok (malam ini) adalah satu aksi yang penting jika kita ingin layak secara automatik tetapi bukan mudah kerana ini adalah cabaran kepada semua pemain dan saya rasa kita mampu melakukannya.
“Kita sudah menganalisis perlawanan sebelum ini dan banyak kelemahan perlu diperbaiki dan kita juga tidak boleh mengambil mudah cabaran pasukan lawan,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan semalam.
Selain itu, Kim Swee tidak bimbang dengan cuti yang terlalu panjang kerana padanya dia mempunyai lebih masa untuk mempersiapkan pasukannya selain dapat memberi rehat yang cukup buat para pemainnya terutama pemain kebangsaan.
“Kita menjalani latihan seperti biasa dan mengekalkan intensitii tertentu biarpun tanpa perlawanan yang begitu lama dan semua pemain juga berada dalam keadaan terbaik.
“Saya juga masih mempunyai tempoh 24 jam untuk membuat pilihan kesebelasan terbaik dalam pasukan,” kata bekas pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan itu.
Sabah FC memerlukan tiga mata penuh untuk kembali ke tangga teratas Kumpulan H, sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat kalah mati.
Sementara itu, pemain pertahanan Sabah FC, Dominic Tan sudah bersedia mematahkan segala asakan penyerang Hai Phong FC dalam pertembungan dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Likas malam ini.
Dominic yang juga tonggak pertahanan Harimau Malaya berkata, pertembungan malam ini juga dianggap misi menebus maruah apabila mereka tumbang 2-3 kepada kelab Vietnam itu pada pertembungan pertama dua minggu lalu.
Menurut Dominic, kekalahan berkenaan sudah dijadikan pengajaran berguna buat dirinya dan pasukan, sekali gus berharap dapat mengutip tiga mata maksimum bagi memastikan tiket ke pusingan berikutnya berada dalam genggaman.
“Bagi saya, kita bermain di tempat sendiri dan harus mengambil peluang sebaiknya dan paling penting dapat tiga mata untuk mencerahkan peluang pasukan untuk lolos ke peringkat kalah mati,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam. – UTUSAN










