RM10 juta denda, 7 tahun penjara, 2 kali sebatan - Utusan Malaysia

RM10 juta denda, 7 tahun penjara, 2 kali sebatan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditemani ibunya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam selepas didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan ke atas Syed Saddiq Abdul Rahman yang didapati bersalah atas empat pertuduhan termasuk menyalahguna dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Ahli Parlimen Muar yang berumur bawah 50 tahun itu menjadi wakil rakyat pertama diperintah menjalani hukuman sebat atas kesalahan jenayah kolar putih iaitu bersubahat melakukan pecah amanah dan salah guna harta.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memerintahkan Syed Saddiq, 30, disebat selepas menolak permohonan pasukan pembelaan agar bekas Menteri Belia dan Sukan itu hanya dikenakan hukuman penjara dan denda minimum.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman dengan syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, Hakim Azhar memerintahkan pemimpin politik itu dipenjara tiga tahun dan dikenakan satu sebatan.

Kesalahan menyalahgunakan harta untuk diri sendiri di bawah Seksyen 403, Syed Saddiq dipenjara dua tahun dan dikenakan satu sebatan. Kedua-dua hukuman dilaksanakan secara berturut-turut.

Bagi dua lagi pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, Syed Saddiq diperinth menjalani hukuman penjara dua tahun dan dikenakan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan.

Hakim Azhar memerintahkan Syed Saddiq dipenjara dua tahun lagi jika gagal membayar denda RM10 juta. Hukuman penjara bagi kesalahan pengubahan wang haram berjalan serentak.

Alasan kehakiman berhubung keputusan mahkamah kebiasannya dimuat naik dalam laman web mahkamah. Pasukan pembelaan kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. `Afif Ali membantah penangguhan pelaksanaan hukuman atas alasan tiada keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Bagaimanapun, peguam Gobind Singh Deo mewakili Syed Saddiq memohon pelaksanaan hukuman ditangguhkan manakala jumlah jaminan RN330,000 dan syarat sedia ada dikekalkan.

Pada prosiding yang berlangsung kira-kira dua jam, Hakim Azhar memutuskan Syed Saddiq bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui tahap keraguan munasabah.

Dalam keputusan ringkasnya, beliau berkata, mahkamah memberi pertimbangan pada tahap maksimum terhadap keterangan 29 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk tertuduh.

Selain Syed Saddiq, saksi-saksi pembelaan terdiri daripada bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin dan bekas setiausaha peribadinya, Siti Nurul Hidayah.

Pihak pembelaan menutup kes pada 14 Mac lalu manakala pendakwaan pula menutup kes pada 27 September 2022 selepas 29 saksi selesai memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 21 Jun 2022.

Sebelum keputusan hukuman, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah agar ahli politik itu dikenakan hukuman setimpal tanpa mengambil kira faktor usianya selaku pemimpin politik muda.

Wan Shaharuddin yang mengetuai pasukan pendakwaan berhujah mahkamah perlu memberi pemberatan hukuman dengan menjatuhkan hukuman penjara, denda dan sebatan.

“Tidak kira umur 50 atau 30 tahun, apabila diberi amanah, dia mengkhianati amanah itu. Mahkamah perlu beri hukuman setimpal supaya ahli politik lain yang ingin melakukannya berfikir dua, tiga kali,” hujah beliau.

Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, mahkamah juga mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman sebatan terhadap Syed Saddiq.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq berkata, anak guamnya yang akur dengan keputusan itu, memohon dikenakan hukuman penjara atau denda minimum kerana beliau tidak mempunyai rekod jenayah.

Beliau memohon mahkamah mengambil kira sumbangan Presiden Muda itu di persada dunia sebagai menteri (bekas) termuda di Asia selain turut melonjakkan nama Malaysia dalam bidang e-sukan.

Hujah pembelaan, antara sumbangan Syed Saddiq adalah mengetuai pindaan Perlembagaan bersejarah iaitu undi 18 yang membuka jalan kepada tiga juta pengundi muda membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Peguam itu berkata, mahkamah juga perlu mempertimbangkan jasa anak guamnya yang sebelum ini merupakan Menteri Belia dan Sukan sejak 2018 hingga 2020.

“Antara sumbangan penting beliau ialah menaikkan elaun ‘internship’ daripada RM300 kepada RM900.

“Sebagai Ahli Parlimen Muar, beliau juga telah melancarkan beberapa usaha untuk dapatkan dana bagi menyumbang komputer riba dan tablet kepdada beribu-ribu pelajar tidak berkemampuan di kawasan parlimennya,” kata Haijan.

Gobind Singh Deo pula memohon mahkamah mempertimbangkan pembelaan tertuduh dan keterangan saksi pembelaan yang menunjukkan wang dalam kes anak guamnya itu digunakan untuk membantu orang ramai ketika pandemik Covid-19 dan tujuan kebajikan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN