MUKADIMAH
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada Sabtu ini mencuri tumpuan apabila Pas memilih Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon untuk mempertahan kerusi tersebut.
PRK kali ini juga disifatkan sengit kerana lawan Naib Presiden Pas itu juga bukan calang-calang apabila Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk merampas kembali kerusi parlimen tersebut.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, KAMALIZA KAMARUDDIN, Ahmad Samsuri menjawab persoalan mengenai potensi kemenangan, spekulasi dan dakwaan pelbagai pihak terhadap Pas dalam PRK tersebut.
UTUSAN MALAYSIA: Pas merampas Parlimen Kemaman daripada BN pada PRU14 dan kekal pada PRU15. Adakah Datuk Seri yakin momentum kemenangan Pas akan berterusan?
Ahmad Samsuri : Insya-Allah, saya yakin Pas ada kemungkinan yang tinggi untuk memenangi seterusnya mengekalkan momentum kemenangan pada PRK Kemaman pada kali ini.
Bukan kerana siapa yang bertanding. Ini kerana mereka sendiri telah melihat pemimpin-pemimpin Pas mampu mentadbir dengan baik.
Setakat hari ini juga kita melihat sangat positif terutamanya dari segi sokongan yang kita perolehi apabila turun berkempen.
Terdapat dakwaan DUN Ru Rendang pun Datuk Seri tidak sempat untuk lawati dan santuni. Bagaimana pula jika menang di Kemaman?
Pada saya tidak timbul isu ini kerana kita mempunyai jentera dan petugas di setiap peringkat yang memainkan peranan mereka untuk menyantuni rakyat.
Bermakna, saya turun atau tidak, permasalahan rakyat tetap dapat diselesaikan. Inilah mindset yang perlu kita ubah dan apa yang penting, sesiapa sahaja yang memimpin pasti ada sebuah organisasi dan kakitangan yang akan bekerjasama memastikan sesuatu permasalahan dapat diselesaikan.
Adakah Kemaman setelah diambil alih Pas sejak 2018 kini sudah boleh dianggap sebagai kubu kuat Pas?
Tiada siapa dakwa Kemaman menjadi kubu kuat Pas. Namun, kemenangan berterusan dengan majoriti besar adalah signal rakyat yang inginkan perubahan.
Kita tak kisah siapa yang memimpin asalkan beliau dapat buat kerja dengan baik, tiada rasuah dan tidak menyusahkan rakyat.
Sentimen dimainkan ketika ini adalah rakyat Kemaman perlu jadi jambatan antara kerajaan Pusat dan negeri terutama dalam soal pembangunan. Adakah Datuk Seri melihat isu ini akan mempengaruhi sokongan pengundi di Kemaman?
Apa sahaja sentimen atau isu sedikit sebanyak pasti akan mempengaruhi sokongan pengundi di Kemaman.
Semua sedia maklum, sekiranya menjadi ahli Parlimen maka pemimpin tersebut boleh sampaikan suara rakyat ‘direct’ kepada kerajaan Pusat. Maka, pentingnya siapa yang akan menang dan menjaga kebajikan mereka nanti.
Jika dilihat, Kemaman merupakan daerah yang paling tinggi hasil yang dikeluarkan berbanding di daerah-daerah lain. Ini merupakan kelebihan daerah Kemaman, tinggal lagi bagaimana kita perlu susun atur dengan strategi yang terbaik supaya hasil yang baik ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Apa yang saya lihat, satu perancangan yang sangat teliti perlu kita teruskan di Kemaman ini terutama dengan kewujudan stesen ECRL selepas ini.
Ini adalah salah satu perkara yang saya akan tekankan nanti dan saya akan mengadakan perbincangan dengan pihak pusat dan negeri.
Di samping itu, segala projek yang telah kita kita rancangkan di Kemaman ini bersama pihak-pihak kementerian dan negeri juga akan kita teruskan tanpa tergendala.
Pas dilihat seolah-olah over confident dapat mempertahankan Kemaman?
Saya kurang setuju. Kalau over confident, para petugas kita atau saya sendiri tak turun dah siang malam bekerja untuk menangkan parti ini.
Saya tegaskan bahawa petugas-petugas PAS sangat terbaik, jentera parti datang dari pelbagai daerah dan negeri untuk bantu kempen di sini. – UTUSAN










