JOHOR BAHRU: Polis negeri ini melupuskan dadah bernilai RM5.43 juta melibatkan 3,214 kes yang berjaya diselesaikan antara tahun 2000 hingga 2022.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dadah sebanyak 322.13 kilogram (kg) dan 1,562.6 liter itu akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.
“Dadah yang dilupuskan melibatkan heroin seberat 10.42 kg, kanabis (28.38 kg), ketamin (15.04 kg), methamphetamine (8.03 kg), methylene methamphetamine (10.35 kg), daun ketum (235.43 kg) dan pelbagai jenis dadah lain seberat 4.45 kg serta 1,562.60 liter.
“Walau bagaimanapun, jumlah pelupusan dadah yang dilakukan tahun ini kurang berbanding tahun lalu melibatkan dadah sebanyak 301.54 kg dan 6.42.47 liter dengan anggaran nilai RM6.11 juta.
“Ini memang prosedur operasi standard (SOP) kita, iaitu kesemua barang kes akan dilupuskan dengan kaedah tertentu agar tidak mencemarkan alam sekitar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Deputi Komisioner M. Kumar dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Mohd. Afzanizam Yahaya.
Kamarul Zaman turut memberitahu, pihaknya berjaya menahan seramai 15,167 suspek atas pelbagai kesalahan dadah melibatkan rampasan dadah sebanyak 4.65 tan bermula 1 Januari hingga 20 November lalu.
“Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM33.77 juta manakala harta benda yang disita pula bernilai RM13.15 juta.
“Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Kami sentiasa komited dalam melaksanakan operasi berterusan bagi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah,” katanya. – UTUSAN