PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menjelaskan 25 pemain yang dipilihnya untuk membarisi skuad negara ketika ini adalah berdasarkan keperluan taktikal yang telah beliau rancang.
Pan Gon berkata, beliau sedar, peminat dan pihak media mempunyai pandangan tersendiri tentang pemilihan skuad Harimau Malaya namun, tugasnya sebagai jurulatih juga perlu diambil kira untuk membentuk pasukan.
“Saya berharap, semua pihak faham tentang pemilihan ini. Semua 25 pemain dipilih berdasarkan taktikal. Saya sedar ada lagi pemain bagus yang tidak tersenarai namun, mereka ada dalam senarai menunggu.
“Selain sebab taktikal, ada beberapa aspek lain yang diambil kira seperti komitmen, semangat patriotik dan semangat berpasukan. Saya fikir, mereka yang bagus akan ada peluang dan mereka boleh sertai Malaysia selepas ini.
“Kita mahu membentuk pasukan yang terbaik untuk negara dan saya rasa, 25 yang dipanggil adalah yang terbaik ketika ini dan akan dibentuk untuk menjadi satu pasukan terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam
Ditanya tentang pemilihan Mohamadou Sumareh yang banyak mendapat kritikan, Pan Gon berkata, dia tidak berminat untuk memberikan komen terhadap individu dan berpegang teguh kepada alasan pemilihan berdasarkan taktikal.
“Saya tidak bercakap tentang individu, cuma saya sudah maklumkan ia sebab taktikal. Setiap pemain ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada yang boleh bermain penuh, ada yang boleh dimasukkan minit akhir dan sebagainya.
“Kalau saya mahu komen tentang 25 pemain, dua jam pun tidak cukup. Jadi, sila hormati. Saya tidak suka cakap tentang individu biarpun pemain itu ada melakukan kesilapan, kita hanya manusia biasa,” kata Pan Gon.
Latihan pertama semalam menyaksikan dua pemain tidak bersama pasukan iaitu Dion Cools dan Junior Eldstal, kedua-duanya akan menyertai latihan bersama Harimau Malaya pada Isnin ini.
Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum terbang ke Taiwan untuk perlawanan kedua pada 21 November. – UTUSAN