Pelantikan penghulu persekutuan, negeri tiada isu

Pelantikan penghulu persekutuan, negeri tiada isu

JASRI Kasim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) (PPNK ICU JPM) melihat pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan penghulu daripada kerajaan negeri di satu-satu kawasan yang sama tidak akan menimbulkan sebarang isu atau masalah.

Pengarahnya Jasri Kasim berkata, pelantikan bagi kedua-dua jawatan berkenaan bertujuan saling membantu antara satu sama lain sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Saya rasa tiada isu kerana kalau kedua-dua pihak ada di satu-satu tempat, kita akan dapat saling membantu antara satu sama lain.

“Sebagai contoh, kalau kita ada sumbangan atau bantuan sekurang-kurangnya kita akan mendapat nama dari kedua-dua pihak, jadi tidak timbul masalah,” katanya kepada pemberita selepas Program Keselamatan Solidariti Palestin bersama Penjawat Awam di Pekarangan Wisma Persekutuan Kota Bharu di sini hari ini.

Jasri memberitahu, sehingga kini pihaknya sedang menunggu senarai nama JPKKP daripada 636 buah kampung di negeri ini selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Katanya, senarai berkenaan akan diterima hasil cadangan daripada akar umbi di kawasan masing-masing dan proses lantikan akan dikendalikan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Buat masa ini, kita masih menunggu senarai JKKP yang dicadangkan daripada akar umbi berdasarkan pemilihan yang dibuat bagi mewakili setiap kampung.

“Dari situ kita akan meneliti dan membuat semakan sama ada senarai berkenaan benar-benar mewakili penduduk di situ sebelum ia dihantar ke KKDW,” ujarnya.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) (PPNK ICU JPM) mengesahkan pelantikan penghulu atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) akan selesai bulan depan.

Pengarahnya, Jasri Kasim berkata, proses lantikan yang dikendalikan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu melibatkan 636 buah kampung di negeri ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN