PAID Maran, Jengka kutip lebih RM64,000 untuk Tabung Palestin - Utusan Malaysia

PAID Maran, Jengka kutip lebih RM64,000 untuk Tabung Palestin

KADI Maran, Amirul Farhan Wahi (kanan) menyampaikan kutipan derma untuk Palestin berjumlah RM33,670 kepada Syed Ibrahim Syed Ahmad (dua dari kanan) di Felda Jengka 23 di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Maran dan Jengka berjaya mengutip dana RM64,324 untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin yang tertindas di Gaza.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kutipan itu komitmen PAID bagi menjayakan Tabung Pahang For Palestine 2.0 anjuran kerajaan negeri.

Menurutnya, tabung ini dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi mengumpulkan dana membantu rakyat Palestin yang menderita dan memerlukan bantuan oleh masyarakat dunia.

“PAID Jengka berjaya mengutip derma RM30,654 manakala PAID Maran pula mengumpul kutipan RM33,670,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau selepas majlis penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Agama bagi Daerah Maran dan Wilayah Jengka di sini.

Syed Ibrahim berkata, sebelum ini kerajaan negeri sudah pun menyumbang RM700,000 kepada rakyat Palestin melalui Tabung Pahang For Palestin 1.0.

Beliau berharap gencatan senjata antara pejuang Hamas dan Israel kekal bagi mengembalikan keamanan, kemanusiaan dan pembangunan di bumi Gaza, Palestin.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyaluran BPP Kluster Masjid merupakan siri kelima selepas Jerantut, Bentong, Kuantan dan Kuantan Barat membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentol, Luit, Chenor dan Jengka.

“Seramai 325 penerima bagi Wilayah Jengka dengan kos RM399,900 dan bagi Maran seramai 365 penerima dengan kos RM824,500,” katanya.

Pada majlis itu, mualaf menerima RM200 seorang, pelajar tahfiz menerima RM100 seorang, setiap maahad tahfiz menerima RM2,000 manakala masjid mendapat sumbangan RM10,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya